Tuesday, November 9, 2010

PANI, kelainan konsert Jamal


KEMUNCULAN Ahmad Nawab pada konsert Jamal nanti pasti menyuntik kehebatan muzik yang tiada tolok bandingnya.


FENOMENA penyanyi tempatan sukar mendapat tajaan bagi menjayakan sesebuah konsert atau persembahan seakan-akan satu situasi yang sudah normal. Pedih untuk ditelan namun itulah hakikat yang perlu dijalani.

Lebih parah lagi apabila polemik ini turut menimpa penyanyi popular yang telah menempa nama yang cukup lama sebagai penyanyi.

Mengeluh apabila kebanyakan syarikat korporat di negara sendiri memilih untuk menaja artis luar berbanding artis tempatan seakan-akan sudah tidak bermakna.

Sudahnya artis tempatan sendiri menjeruk hati dan berasa seolah-olah sebagai tidak diiktiraf dan dilihat kecil kemampuan untuk mampu menarik orang ramai untuk menyaksikan konsert atau persembahan yang dianjurkan.

Terbaru, kepedihan menelan situasi yang sama dialami sendiri oleh penyanyi lelaki tersohor negara, Jamal Abdillah yang sudah bergelar artis rakaman selama 31 tahun.

Sudah melahirkan puluhan album, malah setiap konsert yang membabitkan artis tersebut juga sememangnya kerap mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat.

Biarpun memiliki ramai peminat, semua itu bukanlah sebuah tiket penyanyi bersuara emas itu untuk mendapatkan penajaan dengan mudah bagi menjayakan konsert yang akan diadakan di Istana Budaya pada awal Januari 2011.

Dalam satu sidang media yang diadakan, Jamal turut meluahkan sedikit kekecewaan mengenai keadaan yang dialaminya itu. Bagaimanapun, itu semua langsung tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan konsert tersebut.

“Untuk Konsert Jamal Abdillah J2011 Lagenda, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM300,000 bagi kos perbelanjaan konsert tersebut. Namun, saya masih berharap agar ada pihak yang akan memberi tajaan.

“Kerjaya saya sebagai penyanyi adalah untuk menghiburkan peminat. Jadi, biar apapun keadaan yang berlaku saya akan tetap meneruskan konsert ini demi peminat-peminat yang banyak menyokong saya selama ini,” ujarnya yang kali terakhir membuat persembahan di Istana Budaya melalui Konsert Jamal... Kembara Seniman tahun lalu.

Bakal diadakan pada 7 hingga 10 Januari 2011, konsert iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan itu terbahagi kepada dua segmen.

Bagi segmen pertama, para hadirin akan diperdendangkan dengan alunan nostalgia lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penyanyi kegemaran Jamal seperti Tan Sri P. Ramlee, M. Bakri, S. Affendi, Ismail Harun, Eddy Silitongga dan Datuk Ahmad Jais.

Menurut Jamal, lagu-lagu itu memang sangat diminatinya dan diberi nafas baru untuk persembahan pada konsert tersebut. Malah, kesemua lagu akan dihimpun dan bakal diterbitkan menjadi sebuah album yang bakal siap pada hujung tahun ini.

Bagi segmen kedua pula, penyanyi bersuara jantan ini akan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Di Sudut Kamar Hati, Suratan Kasih, Kabus Di Wajah Mu dan Suratan Nasib. Tidak dilupakan juga dendangan lagu-lagu yang jarang di dengar sebelum ini sebagai bonus kepada penonton yang hadir.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelainan yang akan ditampilkan, Jamal memberitahu konsertnya kali ini akan menggunakan penataan cahaya khas berkonsepkan PANI yang julung-julung kalinya digunakan.

“PANI merupakan teknik pencahayaan dari Austria yang direka khas mengikut mood dan suasana sewaktu persembahan sedang berlangsung. Setiap ruang dalam Panggung Sari, Istana Budaya akan dipancarkan cahaya, di mana penonton akan merasai kelainan sewaktu menyaksikan persembahan nanti.

“Kosnya juga boleh dikatakan agak mahal iaitu menelan perbelanjaan sebanyak RM20,000 untuk satu malam. Namun, saya rasa bertuah kerana seorang rakan saya akan membantu untuk membawakan konsep ini,” ujarnya.

Bagi konsert tersebut, Jamal turut mengundang Datuk Ahmad Nawab untuk membuat penampilan khas. Gubahan muzik yang lebih segar pula mendapat sentuhan komposer terkenal, Eddie Marzuki.

Tiket-tiket juga sudah mula dijual dengan harga RM85, RM105, RM135, RM255 dan RM305 dan boleh dibeli terus di Istana Budaya atau secara online di www.ticket2u.biz.

Bagi mereka yang membeli tiket berharga RM305, akan berpeluang menikmati makanan yang disediakan selepas konsert serta sesi beramah mesra dengan Jamal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: