Saturday, November 13, 2010

SMK Belara menang Seni Jawi Nusantara


Para pelajar bersama wakil Angkasa, Utusan Malaysia dan warga akademik pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Seni Jawi Nusantara dan Restu Ilmu Pelajar di SMK Belara, Kuala Terengganu, semalam. -utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 10 Nov. - Dengan 2,001 nashkah penyertaan daripada pelajarnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara berjaya memenangi hadiah bagi kategori penyertaan teramai dalam Pertandingan Seni Jawi Nusantara.

Sekolah itu diumumkan sebagai pemenang dalam kategori sekolah dengan penyertaan melebihi 1,000 naskhah dalam pertandingan tersebut bersama-sama dua sekolah lain yang berkongsi hadiah keseluruhan sebanyak RM4,000.

Menurut pengetuanya, Abdullah Mamat, pihaknya sentiasa menantikan penganjuran sebarang pertandingan berkonsepkan seni tulisan jawi setiap tahun bagi mengukuhkan kemahiran dan mengasah bakat pelajar dalam pelbagai metodologi tulisan warisan itu.

Katanya, ia turut dirangsang melalui kewujudan Kelab Jawi di sekolah berkenaan yang menganjurkan pelbagai kegiatan termasuk bengkel tulisan jawi yang turut melibatkan penyertaan warga pendidik.

"Pelancaran kelab itu tahun lalu merupakan tanda sokongan pihak sekolah kepada pihak penganjur agar pelbagai lagi aktiviti seperti ini diadakan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di SMK Belara di sini hari ini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)

Hadir sama, Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff dan Pengurus Bahagian Keusahawanan Angkasa, Husnaidy Ibrahim serta ahli jawatankuasa Perhubungan Angkasa Terengganu, Muhammad Yusuff.

Pertandingan itu menyasarkan semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara yang memerlukan peserta menulis semula enam rangkap puisi karya Sasterawan Negara A. Samad Said bertajuk Merindui Buku dalam tulisan jawi.

Hadiah yang ditawarkan bagi juara sebanyak RM2,000, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) di samping 20 hadiah sagu hati bernilai RM100.

Selain itu, sekolah yang menghantar penyertaan 1,000 atau lebih layak menerima hadiah RM4,000.

Kemenangan itu katanya, suatu yang membanggakan kerana berjaya menarik penyertaan atau penglibatan meluasnya pelajar dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi.

Katanya, tulisan yang menjadi warisan itu akan lenyap sekiranya ia tidak dapat diwarisi, dikembang dan disuburkan penggunaan dalam kehidupan generasi kini.

1 comment:

  1. Berita Gembira.
    -
    1. Membandingkan dengan Rumi, Jawi lebih indah, lebih mudah, lebih menarik.
    Rumi = 26 +A+B+D+E+G+H+Q+R = 34 bentuk berdiri sendiri.
    Huruf Arab + 6 Jawi - titik-2 = 17 bentuk yang manis + tari-menari.
    Tidak seperti Rumi, Jawi suka bercantum.
    Hanya ekor perubahan seperti yang ditunjukkan di sini:
    http://www.arabictypography.com/ani1.html

    2. BM adalah bahasa fonetik, seperti Arab.
    Cara terbaik adalah ditulis (dan dibaca) dalam Jawi
    -
    Tetapi kebanyakan orang Melayu + Indons tidak mengetahui.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: