![]() |
| |
KANGAR 11 Nov. - Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar, V. Vinusa (gambar), 12, muncul pelajar tunggal kaum India di negeri ini yang memperoleh keputusan 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Anak tukang paip, M. Vadivel, 47, dan suri rumah, K. Indrani, 43, itu muncul pelajar cemerlang bagi sekolah berkenaan yang sejak tujuh tahun lalu tidak pernah mencatat keputusan tersebut.
Rahsia kejayaan Vinusa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu adalah kesanggupan dia untuk bangun seawal 4.30 pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang sukar dikuasai iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman) dan Sains.
Menurut Vinusa, ibu bapanya dan guru-guru mencadangkannya bangun awal pagi kerana yakin bahawa pada waktu itu minda dan tubuh badan lebih segar serta mudah untuk menghafal pelajaran.
"Setiap pagi ibu akan mengejutkan saya dari tidur kemudian saya akan mandi dan bersembahyang dan seterusnya mengulang kaji pelajaran sebelum pergi ke sekolah," katanya setelah menerima slip keputusan UPSR daripada Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat di SJK Cina, Khoon Aik di sini hari ini.
Dia yang turut mengikuti kelas tuisyen selama empat jam setiap minggu memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Pemahaman, Bahasa Tamil Penulisan dan Pemahaman, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Sementara itu, anak seorang kerani syarikat swasta, Nurul Syakirah Shabri, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Syed Alwi yang memperoleh keputusan 5A berkata, guru-guru banyak membantunya dalam mengulangkaji pelajaran.
"Selain itu, saya mengikuti kelas tuisyen dan mengulangkaji pelajaran di rumah setiap hari," katanya yang bercita-cita menjadi Saintis.
Nurul berkata, dia tidak menyangka memperoleh keputusan tersebut kerana ketika peperiksaan percubaan dia hanya memperoleh keputusan 4A 1B.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: