Saturday, November 13, 2010

420 pelajar sertai seminar SPM


Muhammad Bushro Mat Johor menyerahkan sijil penyertaan kepada pelajar yang mengikuti seminar teknik menjawab soalan SPM di Sungai Buloh, baru-baru ini.


SUNGAI BULOH 9 Nov. - Sebanyak 420 orang pelajar daripada enam buah sekolah sekitar Sungai Buloh di sini telah mengikuti program seminar teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Sains Kesihatan Sungai Buloh dekat sini baru-baru ini.

Seminar anjuran Sekretariat Dewan Undangan Paya Jaras, Jabatan Pelajaran Daerah Gombak dan Kolej Sains Bersekutu Sungai Buloh itu mendedahkan pelajar kepada teknik menjawab soalan SPM dengan lebih sistematik dan berkesan.

Sekolah yang terlibat dalam program yang sudah berlangsung empat tahun itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahman Putra, SMK Bukit Gading, Sekolah Menegah Agama Paya Jaras, Sekolah Menegah Vokasional Sungai Buloh, SMK Bandar Baru Sungai Buloh dan SMK Taman Ehsan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor berkata, selain seminar untuk calon SPM, pihaknya turut menganjurkan seminar untuk pelajar-pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), murid-murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan lagi ketiga-tiga peperiksaan utama itu di kawasannya.

Menurut beliau, seminar sehari itu mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun kerana ia dilihat berkesan dan boleh membantu pelajar meningkatkan lagi keputusan peperiksaan mereka.

"Sebagai ADUN di kawasan ini, saya amat menitikberatkan berkaitan dengan pendidikan kerana dengan adanya pelajaran sahaja yang boleh mengubah kehidupan seseorang.

"Lagi pun SPM ini adalah penentu hala tuju masa hadapan pelajar-pelajar," katanya ketika berucap dalam majlis penutupan seminar tersebut dekat sini baru-baru ini.

Beliau berharap dengan adanya seminar seperti itu dapat membantu sedikit sebanyak pelajar-pelajar mendapatkan keputusan yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: