JIKA diimbau kembali, selipar yang dijual pada ketika dahulu jauh berbeza dengan koleksi yang ditawarkan di pasaran masa kini. Pada ketika itu, pengguna tidak mempunyai banyak pilihan dari segi rekaan mahupun corak.
Ramai pula yang memilih untuk mendapatkan selipar bercorak ketika berkunjung ke luar negara. Situasi itu terjadi berikutan trend berfesyen di luar negara bergerak lebih pantas berbanding di negara sendiri.
Bagaimanapun, kini fenomena itu tidak lagi dihadapi pengguna terutamanya wanita. Bagi mereka yang sentiasa mahu kelihatan cantik bergaya, selipar yang disarung turut memainkan peranan penting bagi melengkapkan penampilan.
Pilihannya haruslah seiring dengan pakaian yang dikenakan. Selipar bukan lagi sekadar dipakai secara 'tangkap muat', tetapi ia sebenarnya membantu menyerlahkan stail seseorang.
Pastinya, anda perlu menyesuaikan penggunaannya sama ada untuk bersiar-siar ataupun menghadiri parti bertema. Namun, bagi majlis formal, idea pemakaian selipar seharusnya ditolak ke tepi.
Salah satu jenama selipar yang mendapat perhatian pengguna adalah Havaianas. Sering mempamerkan koleksi selipar mengikut musim seperti Piala Dunia, Havaianas keluaran Brazil turut mempunyai ciri keselesaan.
Selain daripada corak atau warna yang diutamakan, Havaianas menggunakan 100 peratus getah bermutu tinggi.
|
|
Tidak terhad kepada pengguna wanita, koleksi jenama tersebut mengetengahkan saiz dan fesyen untuk golongan lelaki dan kanak-kanak.
Terdapat juga beberapa rekaan selipar yang boleh dipakai oleh kedua-dua jantina. Selain itu, bagi yang ingin tampil 'ekstra', sentuhan butiran batu permata oleh pereka Alagoa Nova membuatkan penampilan pemakainya bertambah glamor walaupun ringkas.
Koleksi Havaianas Fun boleh didapati menerusi tiga warna dan corak berbeza. Lebih menarik, tali getah selipar tersebut mempunyai ciri bersinar pada waktu malam. Ciri istimewa berkenaan mampu menarik perhatian para gadis yang berusia antara 13 hingga 18 tahun.
Sementara itu, koleksi yang paling digemari semenjak 1962 adalah selipar tanpa corak tetapi tertera bendera negara Brazil. Selipar itu juga memberi satu medium transformasi hebat kerana telah 'mengajak' lebih ramai lelaki menyarungkan warna terang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: