Monday, November 8, 2010

Gaya rock vs sporty




BANTUAN tenaga kerja seramai 30 orang memenuhi persekitaran studio Yipie Yaya, Petaling Jaya, Selangor pagi itu. Kehadiran mereka serentak dengan barisan model cilik yang ingin bersiap sedia memberikan aksi terbaik bagi sesi fotografi.

Persiapan itu dimulakan seawal pukul 8 pagi bagi mengendalikan pilihan baju yang mahu diperagakan selain mengenakan solekan dan dandanan ringkas ke atas model kanak-kanak itu.

Tugas model cilik itu adalah untuk menggayakan koleksi pakaian kanak-kanak jenama Antioni dan Diesel sempena menyambut kedatangan Tahun Baru Cina pada tahun depan.

Persiapan awal itu bertujuan mengelakkan sebarang kesulitan memandangkan bukan mudah untuk melayani kerenah kanak-kanak.

“Model kanak-kanak banyak perbezaan dengan model dewasa. Sebagai jurufoto saya perlu rakamkan mood mereka dengan tepat.

“Kadang-kadang mereka tidak memberi tumpuan. Mata mereka sering menoleh ke arah keluarga masing-masing yang sedang menunggu di balik kamera. Jadi, saya dan krew lain perlu bijak mencuri perhatian mereka,” beritahu jurufoto Yipie Yaya, Ian Wong.

Lebih mencabar, imej jenama Antioni memerlukan setiap model beraksi lasak lantaran koleksi pakaian tersebut berciri sporty.

Bagi menambah gaya, setiap model diberikan peralatan sukan agar mereka dapat memberi aksi bersesuaian dengan pakaian yang digayakan.

Bagi barisan model yang beraksi untuk jenama Antioni itu, mereka kelihatan segar dan ceria dengan rekaan baju yang memaparkan elemen grafiti serta geometri. Sesuai bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 14 tahun, Antioni Kids merealisasikan keinginan ibu bapa yang mahukan penampilan anak-anak mereka lebih energetik.

Menurut Pengurus Besar Barangan Antioni dan BUM, Micko Tan, baju T berkolar antara koleksi yang paling hangat untuk kanak-kanak lelaki.


SESUAIKAN penampilan anak-anak dengan gaya daripada Diesel Kids ini.


Ramai ibu bapa mula mendedahkan anak-anak mereka dengan gaya pemakaian golongan dewasa. Tidak ketinggalan, baju T berkolar itu diletakkan nombor yang besar dan menggunakan warna-warna menawan seperti merah dan merah jambu lembut.

“Sekarang kita tengok ramai kanak-kanak lelaki akan memakai pakaian sedondon dengan bapa mereka manakala anak perempuan pula ‘meniru’ gaya ibu mereka.

“Dari situ, Antioni Kids berani memasarkan koleksi pakaian kanak-kanak yang mampu menampakkan mereka lebih matang daripada usia,” jelasnya.

Sementara itu, bagi kanak-kanak perempuan, fesyen mereka lebih bervariasi berbanding kanak-kanak lelaki.

Meskipun menggunakan konsep sporty, Antioni Kids tidak melupakan ciri-ciri kanak-kanak perempuan yang kelihatan manja, lembut dan manis.

“Elemen sporty masih dikekalkan tetapi untuk menampakkan ciri keperempuanan, kami menggunakan material lace untuk seluar ketat dan juga manik berkilau di baju,” terangnya.

Dandanan ringkas

Di sebalik keceriaan model kanak-kanak beraksi di bawah sinaran lampu simbah, mereka turut ditata rias. Rupa-rupanya model cilik itu turut mendapat sentuhan lengkap dengan sapuan penyamar noda, pemerah pipi dan bedak asas.

“Tekstur kulit kanak-kanak sudah sempurna tetapi untuk mendapatkan hasil berkualiti terutama bagi pengiklanan, solekan nipis diperlukan.


IAN (berdiri) meneliti kembali siri foto yang telah diambil untuk memilih yang terbaik bagi dijadikan iklan.


“Biasanya model kanak-kanak tidak akan menolak apabila wajah mereka disolek. Mereka lebih suka malah memberi idea spontan untuk kelihatan lebih cantik,” beritahu jurusolek Snips, Vivi Wong.

Mengenai rambut pula, sama seperti model dewasa, mereka turut mendapat sentuhan pendandan profesional. Pendandan rambut Snips, Kenvy Lai memberitahu, bagi sesi fotografi kanak-kanak dia lebih senang untuk tidak melakukan perubahan drastik terhadap rambut model.

Cuma bagi kanak-kanak perempuan yang berambut panjang, adalah lebih manis jika rambut mereka dikerintingkan pada bahagian hujung.

“Kanak-kanak lelaki pula saya suka buat gaya spiky menggunakan gel rambut. Itu sudah cukup dan ringkas untuk golongan kanak-kanak,” ujarnya sambil ligat memberi sentuhan akhir pada rambut model-model cilik di dalam bilik dandanan.

Rockstar Diesel

Sesi fotografi pada sebelah tengah hari pula menyaksikan telatah yang berlainan apabila koleksi Diesel memerlukan si cilik bergaya ala bintang rock.

Sekalian tenaga kerja sesi fotografi tersebut tidak kering gusi apabila menyaksikan kanak-kanak itu secara semula jadi membuat aksi ‘ganas’. Siap dengan mimik muka dan bahasa tubuh yang glamor, mereka asyik menunggu petikan butang kamera.

Bagi model cilik berasal dari Kanada, Kailey Fejer, perwatakan lembut yang dimilikinya itu tidak bermakna dia tidak berupaya membawa watak rock.

“Saya amat suka dan tidak sabar melihat hasil aksi rock dalam sesi peragaan pakaian Diesel. Saya membayangkan aksi seorang kanak-kanak yang rock tetapi seksi.


CIRI mempesona Kailey Fejer.


“Bukannya seksi berpakaian tetapi dari segi ekspresi wajah,” jelasnya yang sudah empat tahun menetap di Kuala Lumpur.

Koleksi Diesel Kids bagi perempuan dan lelaki menerapkan ciri rock dengan penampilan pemakaian jean berwarna lusuh, baju kemeja berpetak dan rantai besi yang disangkut di bahagian tepi seluar.

Kanak-kanak perempuan pula, fesyen yang diketengahkan adalah baju T yang mempunyai corak lakaran rama-rama dan bintang rock.

“Potongan baju untuk kanak-kanak perempuan mempunyai banyak perubahan. Rata-rata baju untuk koleksi ini sedikit labuh hingga paras punggung.

“Ada juga kedut-kedut di bahagian bawah dan berbentuk tiga segi pada hujung baju tersebut,” jelas Pengurus Besar Diesel, Shirley Cheah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: