BERSEMPENA dengan sambutan Deepavali, sebanyak lima buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor dan Perak menerima tajaan sudut bacaan melalui Program Pembelajaran Bahasa Inggeris Smiles hasil inisiatif Yayasan GAB.
Yayasan GAB telah memperuntukkan RM800,000 untuk menjalankan program Smiles (Supporting Malaysian Indian Education, Learning & Sports) dalam usaha memperbaiki pemahaman dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda India.
Lima buah sekolah itu adalah SJKT Batu Caves, Selayang, SJKT Bangi, SJKT Ladang Semenyih, SJKT Taman Permata, Dengkil dan SJKT Tan Sri Dato Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak.
“Pada era globalisasi ini, untuk mendapat peluang di peringkat antarabangsa seseorang memerlukan penguasaan bahasa Inggeris yang baik.
“Majoriti pelajar sekolah Tamil menghadapi kesukaran menguasai bahasa Inggeris dan masalah itu berterusan sehingga mereka ke sekolah menengah,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam yang merasmikan majlis itu di SJKT Batu Caves, Selayang baru-baru ini.
Menurut Subramaniam, kerajaan juga telah membawa 300 orang pakar bahasa Inggeris dari luar negara untuk mengajar dan melatih guru-guru tempatan.
Dalam pada itu, Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Yayasan GAB, Renuka Indrarajah berkata, yayasan tersebut sentiasa berpegang kepada prinsip memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak untuk masa depan yang lebih baik.
Tambah Renuka, sejak pelancaran Smiles, yayasan itu telah menjalankan pelbagai aktiviti antaranya kem intensif Inggeris, sesi tutorial tambahan dan menaja sudut bacaan bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah Tamil.
Sehingga kini, pihak yayasan telah menyumbang sudut bacaan di 16 buah sekolah termasuk lima buah sekolah baru. Sudut bacaan tersebut memiliki persekitaran yang selesa dan lengkap dengan bahan-bahan bacaan menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: