Thursday, November 18, 2010

Segar berseri ketika hamil


Ida Rafidah El-Emin


LETIH, lesu, sakit pinggang, kejang kaki, sukar melelapkan mata di waktu malam adalah antara keadaan yang dialami oleh ibu mengandung menjelang tiga bulan terakhir kandungan. Keadaan yang kurang selesa itu bukan sahaja menyebabkan mereka berasa letih malah mood untuk melakukan apa jua aktiviti semakin kurang.

Apabila perut semakin membesar, sistem pernafasan juga terganggu dan pendek kata kandungan yang memasuki fasa terakhir tidaklah begitu menyenangkan bagi majoriti ibu mengandung di dunia.

Justeru apakah yang boleh dibuat tentangnya?

Pakar diet dan pemilik pusat rawatan serta penjagaan sebelum dan selepas bersalin dari Iree Touch, Ida Rafidah El-Emin berkata, majoriti bakal ibu mengalami masalah seperti sakit pinggang, sukar tidur dan cepat penat pada trimester terakhir kandungan.

Malah pada sesetengah ibu, kulit mereka juga akan bertukar kehitaman di bahagian tertentu seperti di celah paha, tengkok, pelipat dan ada juga yang ditumbuhi jerawat.

"Keadaan ini berlaku akibat toksin terkumpul dalam badan ibu mengandung yang sukar dikeluarkan. Perjalanan darah yang tidak sempurna juga menyebabkan masalah seperti lenguh, kejang dan pening kepala.

"Urutan antenatal adalah penyelesaian untuk membantu memberikan keselesaan dan relaksasi buat ibu hamil," jelasnya ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Ida berkata, untuk menguruskan ibu mengandung bukan sebarangan individu boleh melakukannya. Ia perlu dilakukan hanya oleh mereka yang layak dan terlatih sahaja.

"Urutan yang betul amat penting bagi mengelakkan pendarahan. Terdapat poin-poin tertentu yang sudah diketahui tukang urut tidak disentuh kerana boleh memudaratkan," jelasnya.

Kebaikan urutan antenatal ini menurut Ida, adalah bagi membantu melancarkan pernafasan ibu selain membantu sistem penghadaman dan sembelit.

"Urutan ini juga mampu memberikan nikmat serta perasaan positif dan ini amat baik untuk mental ibu mengandung mengharungi sebelum saat melahirkan tiba.

"Apabila berurut juga perjalanan darah ibu akan lancar, ini sekali gus menguatkan otot dan saraf sebagai persediaan melahirkan bayi kelak," ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Ida menasihatkan urutan ini dimulakan ketika kehamilan mencecah empat bulan ke atas. Sebaiknya dua kali sebulan untuk kesegaran minda dan fizikal ibu mengandung.

"Iree Touch turut menyediakan khidmat ini agar ibu mengandung menikmati perkhidmatan yang pastinya membuatkan mereka lebih segar, bertenaga dan bersemangat pada trimester kehamilan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: