Thursday, November 18, 2010

Menobatkan batik tempatan


Noor Fatimah Ishak (tengah) melihat kakitangannya membuat lukisan batik di butiknya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.


KETIKA pertama kali melangkah dalam dunia rekaan batik lebih 30 tahun lalu Datin Noor Fatimah Ishak tidak pernah membayangkan mampu membawa karyanya hingga ke peringkat antarabangsa.

Itulah pencapaian terbesar yang diraih berkat kerja keras dan pengorbanannya bagi menobatkan batik tempatan di persada fesyen dunia melalui jenama batiknya, Deanoor.

Anak kelahiran Kedah yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Pereka Tekstil Deanoor Internation al (M) Sdn. Bhd., hanya bermula sebagai pereka tekstil biasa pada awal tahun 80- an.

Noor Fatimah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni terutama rekaan batik dan pernah memenangi anugerah Traditional Batik Costume pada tahun 1970-an yang ia menjadi langkah pertama beliau dalam industri batik.

Pada tahun 1986, beliau membuka butik sendiri dengan segala minat dan kreativiti dicurahkan sepenuhnya. Batik lukisan tangan eksklusifnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya di Malaysia dan Brunei.

Bertitik tolak daripada situ, Noor Fatimah membuka langkah pertama dengan menubuhkan syarikat sendiri yang dinamakan D`Reka Batik pada tahun 1998 di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Noor Fatimah yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini kebetulan baru sahaja pulang daripada Minggu Fesyen Milan 2010 di Itali.

“Saya bawa dua helai kaftan batik rekaan saya ke minggu fesyen tersebut. Penerimaan orang Barat mengenai batik Malaysia begitu memberangsangkan. Mereka sukakan rekaan batik kita dengan syarat rekaan mesti tulen.

“Kualiti menjadi keutamaan dan kualiti juga yang amat saya pentingkan selain warna dan rekaan batik itu sendiri.

“Saya bukannya pergi ke sana dengan tangan kosong atau bercuti. Sebelum pergi, saya membuat banyak kajian mengenai apa yang orang Eropah suka dalam fesyen seperti warna, rekaan dan tekstil yang digunakan,’’ kata Noor Fatimah.

Menurutnya, negara-negara Eropah mempunyai empat musim dan setiap satu mempunyai warna pilihan dan fesyen yang berbeza.

Satu yang pasti, mereka menyukai warna-warna lembut dan mengelakkan daripada warna-warna garang atau terlalu banyak warna.

Katanya lagi, orang Eropah juga tidak begitu menyukai corak-corak bunga tetapi lebih kepada abstrak.

Justeru, sebelum menghadiri sesuatu pertunjukan fesyen seperti Minggu Fesyen Milan baru-baru ini, beliau mempersiapkan diri dan mengumpul sebanyak mungkin maklumat mengenai warna pilihan orang Barat untuk musim bunga dan panas.

“Rekaan yang dihasilkan mesti sesuai dengan pasaran Eropah, barulah kita boleh mengintai pasaran di sana,” katanya.

Selain Eropah batik Deanoor turut mendapat permintaan di Amerika Syarikat dan negara Arab.

Pada September tahun depan, Deanoor sekali lagi akan mengadakan pertunjukan fesyen secara solo di Minggu Fesyen Milan dengan menampilkan 40 rekaan.

Dalam mana-mana profesion pun katanya, jika hendak pergi jauh seseorang itu mesti mempunyai wawasan dan berusaha keras untuk berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: