Saturday, November 20, 2010

Sam tidak menduakan Bunkface




BAND Bunkface tidak ada kurangnya. Popular, meraih pelbagai anugerah dan menerima tawaran persembahan sehingga ke luar negara, tetapi nampaknya itu semua tidak mencukupi buat vokalis Bunkface, Sam.

Baru melahirkan sebuah album berjudul Phobia Phoney, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd. Baharom 'meninggalkan' teman-teman seperjuangannya dalam Bunkface, Youk (pemain gitar bass) dan Paan (pemain gitar utama) dengan menubuhkan band baru, The Azenders.

Malah, lagu single pertama The Azenders berjudul Ladies And Gentlemen telah pun berkumandang di corong-corong radio dan tidak lama lagi bakal menyusul single kedua berjudul Peribadi.

Tidak melatah apatah lagi menyalurkan tanda amarah, Sam yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini hanya tertawa apabila disoal tentang berita dia meninggalkan Bunkface.

Katanya dalam senyuman meleret: "Mana ada tinggalkan Bunkface. Bunkface tetap ada, The Azenders adalah projek solo saya bersama beberapa teman yang lain.

"Rasanya ramai juga pemuzik membikin projek seperti ini walaupun mereka telah mempunyai sebuah band yang dikenali."

Tambah Sam yang berusia 23 tahun, tujuannya melahirkan The Azenders bukanlah untuk mencari keuntungan atau populariti yang lebih daripada Bunkface tetapi demi kepuasannya berkarya dalam muzik.


BELUM benar-benar menandatangani sebarang tawaran syarikat rakaman dari luar negara, Bunkface menunggu surat hitam putih agar perjalanan grup ini di luar kelak tidak diperlekehkan. "Semuanya perlu diteliti," ujar mereka.


Baginya Bunkface tiada gantinya begitu juga dengan teman-teman di dalam band itu, cuma mindanya memerlukan ruang yang lebih luas untuk melampiaskan idea kreatifnya itu.

"The Azenders wujud kerana saya hanya ingin kepuasan dalam membikin muzik. Bunkface mempunyai imej dan bunyinya yang tersendiri, sangat berbeza dengan The Azenders.

"Meskipun The Azenders masih menyalurkan irama rock, kepada mereka yang telah mendengar lagu pertama kami, akan tahu perbezaannya," jelas Sam tentang band yang ditubuhkan 3 bulan lalu itu.

Sungguhpun masih baru, semua ahli di dalam The Azenders, Kudut (dram), Izal (bass) dan Ajam (strings) yang juga mempunyai band mereka sendiri selain The Azenders sudah lama mengenali antara satu sama lain.

"The Azenders merupakan band kedua setiap ahli, jadi rasanya tidak ada isu yang harus diperbesarkan kerana kami bersatu hanya kerana muzik," tutur Sam.

Disoal tidakkah sukar untuk mengimbangi masa antara Bunkface dan The Azenders, jawab Sam: "Saya memang kena pandai membahagikan masa antara dua band tetapi saya akan memberi keutamaan pada Bunkface kerana ia adalah band saya manakala The Azenders merupakan projek solo.

"Setakat hari ini semuanya berjalan lancar dan saya masih sibuk bersama Bunkface, apa-apa pun kami akan berbincang," katanya.

Youk dan Paan yang berada duduk di sebelah Sam juga menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang diperkatakan Sam, malah tiada rasa cemburu bersarang di hati.

"Tiada halangan daripada kami, selagi dia boleh bahagikan komitmen kami beri sokongan seratus peratus. Kami tidak cemburu dan mendoakan kejayaan The Azenders.

"Mungkin pada masa depan kami juga akan membikin projek solo seperti ini, jadi kami tidak boleh menghalang Sam untuk berkarya," luah Youk.

Andai pada masa depan The Azenders menjadi pesaing terdekat Bunkface, bagaimana pula kedudukan Sam ketika itu?


HUJAN dan Bunkface, dua grup yang bakal menghangatkan Anugerah Shout! malam ini.


Balas Sam: "Sekarang ini saya tidak boleh cakap apa-apa kerana ramai lagi yang tidak kenal The Azenders. Popular atau jadi pesaing, itu terletak di tangan peminat."

Lebar sayap ke Eropah

Saat temu bual dijalankan mereka bertiga baru sahaja pulang dari United Kingdom, England kerana mengadakan persembahan di O2 Academy Music Festival anjuran Jar Music Group.

Selama sembilan hari di sana, mereka sempat meraih pengalaman dengan melihat cara kerja band-band antarabangsa yang lain.

Malah, kehadiran pemuzik dari Klang, Selangor itu juga menjadi perhatian banyak syarikat rakaman di sana.

"Kami ada menerima tawaran daripada beberapa syarikat rakaman di sana yang berminat dengan muzik kami tetapi setakat ini belum ada surat hitam putih, jadi kami tidak boleh cakap lebih-lebih.




"Ikut hati mahu tandatangan sahaja kontrak di sana tetapi banyak perkara yang perlu diambil kira dan diteliti sebelum menandatangani sebarang kontrak. Kalau ada rezeki, syukur alhamdulillah," ujar Sam.

Bercerita lanjut tentang kunjungan mereka ke United Kingdom, masing-masing menunjukkan kasut yang di sarung mereka.

"Kasut ini kami beli di sana, rekaannya unik dan harganya agak mahal sebab duit mereka tinggi lima kali ganda daripada duit Malaysia.

"Selain itu, kami juga ada beli baju dan purata seorang menghabiskan wang sebanyak RM4,000. Jumlah itu termasuk semua perbelanjaan kami di sana," kata Paan.

2 comments:

  1. nape lahh sam snggop buad mcm nie ?
    pelikk tol sam nie .
    frust ke sbub bru putos chinta ?
    hey !rmai lagy lahh gurl tat lua nie .
    i hate the azanders !
    i love bunkface !

    ReplyDelete
  2. i l0ve HUJAN!!!! <3

    #RAINGERs!!!!!\m/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: