Saturday, November 20, 2010

Separuh akhir Bintang Klasik Nasional


INILAH 12 daripada 24 peserta separuh akhir pertandingan Bintang Klasik Nasional.


IRAMA klasik tidak lapuk ditelan waktu. Meskipun irama klasik sering dikaitkan dengan mereka yang mencecah usia emas, namun, kini semakin ramai anak muda yang tertarik dengan keindahan irama yang cukup popular sekitar tahun 1950-an hingga 1980-an.

Nama-nama penyanyi seperti Puan Sri Saloma, Fazidah Jonet, Sanisah Huri, Datuk Sharifah Aini, Datuk Ahmad Jais dan Tan Sri P. Ramlee antara nama penyanyi yang cukup popular ketika era kegemilangan mereka dan lagu-lagu dendangan mereka sering menjadi pilihan dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional yang diadakan setiap tahun.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang mana hanya peserta peringkat akhir akan muncul di kaca televisyen, kali ini peringkat separuh akhir juga disiarkan ditelevisyen.

Seramai 24 peserta yang bersaing dalam peringkat akhir tetapi cuma 12 orang sahaja yang telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Menemubual 12 orang daripada 24 orang peserta yang layak ke peringkat akhir benar-benar membuktikan irama klasik juga begitu mekar dalam jiwa orang muda.

Buktinya Danie Hasbullah Mohd. Razi berusia 16 tahun merupakan peserta paling muda yang menyertai pertandingan ini. Remaja yang berasal dari Klang, Selangor itu menyifatkan pertandingan seperti ini sesuatu yang cukup bermanafaat.

“Selain ia sebuah pertandingan untuk merebut hadiah utama, pertandingan ini juga dapat memartabatkan lagi lagu-lagu lama yang semakin dilupakan. Saya sendiri amat meminati irama klasik walaupun saya seorang remaja," tuturnya.

Dibahagikan kepada enam zon berlainan iaitu Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sabah dan Sarawak, dua wakil setiap zon iaitu juara dan naib juara kategori lelaki dan kategori wanita bakal beraksi di peringkat separuh akhir.

Selain Danie, peserta lain yang turut bertanding adalah Hasfareza Harun (Kedah), Nur Syazwani Abu Zarin (Negeri Sembilan), Nur Idayu Mohd. Sopiee (Johor), Norakmazulaika Abd. Khalid (Pahang), Masitah Mohd. Airani (Sarawak), Siti Naqiah Mohd. Abdul Tahar (Sabah), Fitri Hakim

Omar Walid (Perak), Muhammad Fadzli Abdul Wahab (Melaka), Syamsul Nizam Ali (Pahang), Merazan Mechang (Sarawak) dan Fazrul Misran (Sabah).

Bagi Nur Idayu dari Johor yang merupakan pemenang naib johan Idola P. Ramlee dan Saloma 2007 serta naib johan Lagu Melayu Asli 2009, penyertaannya dalam pertandingan Bintang Klasik Nasional bukanlah yang pertama.

Pernah mencuba nasib pada tahun 2008, dia bagaimanapun gagal meraih sebarang tempat tiga teratas. Tidak berputus asa dan mahu mencuba nasib lagi pada tahun ini, Nur Idayu mengharapkan nasib akan menyebelahinya tahun ini.

“Saya memang minat irama asli dan klasik kerana kebanyakan pertandingan nyanyian yang saya sertai adalah pertandingan lagu-lagu klasik dan asli. Sebenarnya bukan mudah untuk bawakan lagu-lagu lama berbanding lagu moden kerana ia banyak lenggok.

“Dalam pertandingan ini saya lihat kesemua peserta mempunyai kelebihan tersendiri dan kebanyakan mereka merupakan juara di negeri masing-masing.

“Jadi, saya cuma mengharapkan kepada rezeki dan nasib, andai tahun ini bukan rezeki saya, saya pasti akan cuba lagi pada tahun hadapan,” kata pemilik Sarjana Muda Pengurusan itu lagi.


NUR IDAYU


Peringkat separuh akhir yang telah dirakamkan pada 6 November lalu, akan ditayangkan buat tontonan penonton pada hari ini di TV2, manakala, peringkat akhir pula akan disiarkan secara langsung di TV1 pada 28 November ini.

Pertandingan akhir akan berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sg. Gadut, Seremban, Negeri Sembilan bermula pukul 8.30 malam.

Bagi penduduk di kawasan sekitar yang berminat memeriahkan lagi pertandingan ini, mereka dialu-alukan untuk melihat pertandingan ini secara langsung di auditorium.

Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang pada peringkat akhir ialah wang tunai RM15,000 kepada juara, manakala naib johan menerima wang tunai RM10,000 dan pemenang ketiga memperolehi wang tunai RM5,000 selain masing-masing akan menerima trofi dan sijil penghargaan.

Bagaimanapun, peserta yang gagal mendapat tempat pertama hingga ketiga, mereka tidak akan pulang dengan tangan kosong sebaliknya akan menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: