Thursday, November 18, 2010

Putera William beri cincin Puteri Diana kepada tunang


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan Putera William bermesra dengan Kate Middleton di Istana St. James's. London.


LONDON - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William, 28, memberikan sebentuk cincin berlian pertunangan milik ibunya, mendiang Puteri Diana kepada tunangnya, Kate Middleton sebelum pengumuman mereka akan berkahwin pada tahun depan didedahkan secara rasmi kelmarin.

Cincin berwarna biru itu diberikan kepada Diana oleh bapa William, Putera Charles yang merupakan pewaris pertama takhta Britain selepas Ratu Elizabeth II semasa mereka bertunang pada 1981.

Putera Charles dan Puteri Diana bercerai pada 1996.

Puteri Diana diceraikan semasa timbulnya dakwaan beliau curang dan dipinggirkan oleh keluarga diraja Britain.

Putera William yang baru menamatkan latihan dengan pasukan penyelamat tentera Udara Diraja Britain sebagai juruterbang merupakan anak sulung Putera Charles dan Puteri Diana.

Seorang lagi anak pasangan itu ialah Putera Henry.

Puteri Diana kemudiannya meninggal dunia pada 1997 dalam satu kemalangan kereta yang dinaiki bersama kekasihnya, Dodi Al-Fayed anak hartawan kelahiran Mesir, Mohamed Al-Fayed.

Cincin itu pada mulanya berharga £28,500 (RM141,822) tetapi kini ia dianggarkan bernilai £250,000 (RM1.24juta).

Pada sidang akhbar kelmarin bagi mengumumkan berita perkahwinan itu selepas mereka bertunang di Kenya pada bulan lalu, Putera William mengaku beliau berasa amat bimbang jika cincin pertunangan ibunya itu hilang.

Menurutnya, cincin itu disembunyikan ke dalam beg galas selama tiga minggu sebelum beliau melamar Middleton.

"Saya membawa cincin itu bersama saya yang berada di dalam beg galas saya selama tiga minggu.

"Ke mana sahaja saya pergi, saya terus menyimpannya kerana saya ketahui, jika benda ini hilang, saya akan berdepan dengan satu masalah yang besar," katanya.

Putera itu memberikan cincin tersebut kepada Middleton, 28, semasa dia melamar kekasihnya itu yang dikenalinya semasa mereka menuntut di Universiti St. Andrews, Scotland, lapan tahun lalu.

Namun, dalam sidang akhbar itu di Istana St. James's, London, Putera William tidak menyatakan sama ada beliau melutut di depan Middleton semasa membuat lamaran untuk berkahwin.

Middleton, 28, berkata: "Saya cuma melihatnya (cincin itu)."

Pasangan itu dijangka berkahwin pada musim panas tahun depan.

Middleton yang merupakan anak seorang jutawan berkata, menjadi anggota kerabat diraja Britain merupakan harapan yang menakutkan tetapi beliau akan menghadapinya dengan langkah berani.

"Namun, William merupakan seorang guru yang hebat, justeru saya berharap beliau akan membantu saya," katanya Middleton yang bekerja menguruskan perniagaan keluarganya.

Dalam sidang akhbar itu, Putera William berkata: "Kami berasa gembira dan saya berasa gembira kerana telah melakukannya (melamar Middleton)."

Middleton kemudian berkata: "Ia seperti satu langkah semula jadi buat kami berdua."

Putera William menyatakan bahawa Middleton amat istimewa buatnya menyebabkan adalah sesuatu yang baik untuk mereka bersama.

Middleton turut menceritakan bahawa suasana di sebuah hutam simpanan di Kenya yang menjadi tempat mereka bercutipada bulan lalu amat romantik dan ia dianggap suasana yang amat peribadi buat diri mereka.

"Jelasnya, kami berdua mempunyai masa yang menyeronokkan bersama, kedua-dua kami mempunyai ciri-ciri humor mengenai pelbagai perkara.

"Dia (Middleton) mempunyai tabiat yang menyebabkan kami ketawa dan saya selalu bergurau mengenainya," kata Putera William.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment