Friday, November 5, 2010

Puding karamel


Puding karamel.


RASANYA yang enak lebih-lebih lagi jika dimakan sejuk membuatkan ramai yang tidak dapat menahan untuk menjamahnya.

Namun ada segelintir yang mengeluh apabila hasil yang dibuat tidak memuaskan. Alasannya gula yang diberi adalah gula berasa pahit kerana terhangus.

Untuk membuat puding karamel atau krim karamel bukanlah sesusah yang disangka sebenarnya. Jadi pada minggu ini kita belajar cara yang betul untuk membuat puding karamel!.

Bahan-bahan asas membuat puding ini adalah telur, susu dan gula. Puding karamel yang asli hanya menggunakan esen vanilla untuk menambah rasa dan aromanya tetapi anda boleh mempelbagaikan rasanya dengan menambahkan perisa nescafe, pandan atau coklat.

Teknik yang paling penting dalam membuat puding karamel adalah ketika anda membuat gula karamelnya.

Gula karamel ini juga dikenali sebagai gula perang. Gula ini dipanaskan sehingga bertukar menjadi perang dan jangan biarkan gula yang dipanaskan itu menjadi hangus. Gula yang hangus membuatkan puding anda berasa pahit dan kurang enak untuk dimakan.

Gula yang sudah menjadi perang sepenuhnya harus ditutup apinya dan serta merta tuangkannya di dalam loyang. Biarkan gula itu mengeras sebelum anda menuang adunan puding nanti. Gula yang sedang dicairkan hanya perlu dikacau sekali-sekala, jangan dikacau dengan terlalu kerap dan keterlaluan kerana ia akan merubah kristal gula dan mengganggu pencairan gula.

Gunakan api yang sederhana agar gula dapat diperangkan dengan sekata dan terkawal. Untuk membuat pudingnya pula sila pastikan ketika membancuh adunan puding jangan memukul susu, telur dan gula terlalu kuat. Memukul dengan kuat akan membentuk buih yang akan menyebabkan permukaan puding kasar dan berbintik-bintik. Tapis bancuhan ke dalam loyang yang mengandungi gula karamel tadi.

Menapis dapat membuang chalazae (seakan-akan bentuk jeli putih) yang melekat di antara putih telur dan kuning telur. Ini penting untuk mendapatkan puding yang licin dan bersih. Terdapat dua teknik memasak puding karamel iaitu mengukus atau menggunakan teknik steam bake (kukus dan bakar). Steam bake adalah teknik yang menggunakan oven.

Caranya, letakkan air lebih kurang ¼ penuh di dalam dulang, kemudian letakkan loyang yang berisi puding di atas dulang yang berisi air tadi. Pastikan dulang yang berisi air tadi lebih besar daripada loyang yang mengandungi puding. Masukkan di dalam ketuhar dan bakarlah seperti biasa. Anda digalakkan menggunakan api di atas dan di bawah supaya puding anda masak dengan sekata.

Itulah teknik-tenik membuat puding karamel jadi saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua pembaca beragama Hindu dan ambillah kesempatan cuti hari ini untuk membuat puding karamel.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: