Friday, November 5, 2010

Makanan daun pisang di Riverside


Para pengunjung pastinya tidak sabar hendak menikmati makanan daun pisang yang lazat ini.


MEMERIAHKAN sambutan Deepavali hari ini, Restoran Riverside Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyediakan promosi makanan sentuhan India yang dimakan di atas daun pisang. Bermacam-macam jenis makanan India yang lazat dan menyelerakan boleh dinikmati di sini.

Bagi menyemarakkan suasana Deepavali, persekitaran restoran diterangi dengan perhiasan dan lampu berwarna warni. Terdapat juga 'kohlam' yang dihiasi indah diletakkan di ruang masuk restoran. Tidak ketinggalan, para pelayan restoran lelaki dan perempuan mengenakan busana tradisional kaum India pelbagai warna. Sambil menjamu selera, pengunjung turut dihiburkan dengan lagu-lagu tradisional India.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh Datuk Dr. M. Kayveas dengan ditemani oleh seorang pelakon terkenal tanah air, V. Suresh atau lebih dikenali sebagai MGR Suresh kerana wajahnya yang mirip pelakon legenda terkenal India, MGR dan gemar menyanyikan lagu-lagu pelakon tersebut.

Restoran Riverside menyediakan lebih 50 jenis juadah India setiap hari bagi memenuhi selera pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada masyarakat India tetapi juga Melayu, Cina dan sebagainya yang menggemari masakan tersebut.

Chef Ragaman Bibi Mohd. Sharif yang telah 17 tahun bekerja di Restoran Riverside telah ditugaskan untuk menyiapkan semua masakan dengan dibantu oleh dua chef lain.

Ragaman Bibi berkata, makanan yang disediakan ini adalah makanan India Selatan yang menggunakan bahan-bahan masakan seperti santan, kelapa, minyak dengan makanan utamanya nasi yang dimakan dengan pelbagai jenis lauk-pauk.

''Makanan India Utara pula berbeza kerana masyarakat di sana lebih menggemari krim, keju, puri yang dicampurkan di dalam masakan mereka. Selain itu, mereka lebih suka memakan roti dan bukan nasi,'' ujar Ragaman lagi.




Menurut beliau, sebagai pembuka selera terdapat pelbagai jenis raita seperti timun, mangga, tomato, nanas, tembikai susu dan sebagainya. Sementara itu, terdapat juga rasam pedas dan masam, sup jagung manis dan sup kacang pis.

Restoran Riverside yang pertama kali menyediakan promosi makanan India daun pisang ini turut menyediakan makanan tradisional seperti nasi beriani ayam, nasi beriani kambing, ayam vareval, kari ikan merah dan tomato masala, aloo gobi, kobis goreng bersama kelapa, kari sardin dan terung dan kari ikan makerel.

Untuk pencuci mulut pula, disediakan pelbagai jenis kuih-muih manis seperti payasum, gulab jam, palkowa, ladu, jelebi, puding jagung, kandi kelapa dan halwa maskat.

Sempena promosi yang bermula daripada 1 hingga 12 November, Isnin hingga Jumaat ini, harga yang ditawarkan oleh Restoran Riverside kepada pengunjung amat berpatutan, iaitu RM35++ seorang.

Selain boleh dinikmati bersendirian, bersama keluarga dan rakan-rakan, restoran ini juga amat sesuai tempat mengadakan sebarang majlis keramaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: