Friday, November 5, 2010

100 disenarai pendek Gerbang Cinta


Ahmad Abdul Hamid (lima dari kiri) bersama para penaja ketika memilih peserta bagi peraduan Gerbang Cinta Musim kedua, baru-baru ini.


SEJAK dilancarkan 4 Ogos lalu, Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim kedua terus mendapat sambutan daripada pasangan bercinta yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan.

Gerbang Cinta yang dibuka penyertaannya kepada pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali pertama telah menarik perhatian ramai kerana selain menawarkan pelbagai hadiah yang menarik, segala-galanya juga akan ditaja termasuk kenduri kahwin.

Peraduan yang menawarkan penajaan majlis perkahwinan percuma kepada bakal pengantin bernilai lebih RM300,000 menghampiri ke kemuncaknya dengan 100 penyertaan terpilih di senarai pendek.

Kehebatan sambutan dapat dilihat dengan penerimaan hampir 10,000 borang dari seluruh negara sebaik tamat tarikh tutup pada 9 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid berkata, 100 peserta yang dipilih merupakan antara penyertaan yang diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, pemilihan yang dilakukan adalah berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan termasuk slogan yang menarik.

''Mereka yang terpilih akan dipanggil menghadiri kursus kahwin secara percuma yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selama tiga hari bermula 12 November ini di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi.

''Bagaimanapun, daripada jumlah itu, kita akan memilih 50 pasangan yang akan meneruskan cabaran untuk sesi temu ramah bersama panel Gerbang Cinta yang diwakili Jakim, pihak penganjur dan penaja bagi menentukan mereka layak menjadi 10 pasangan peringkat akhir,'' katanya ketika ditemui selepas sesi pemilihan peserta bersama semua wakil penaja di Pusat Latihan Utusan, di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peraduan yang diadakan kali kedua ini bertujuan memberi peluang kepada pembaca setia akhbar Utusan Malaysia khasnya yang ingin melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat memenangi hadiah lumayan.

Peraduan anjuran sisipan Mega ini diteruskan hasil kejayaan peraduan sama tahun lepas yang telah berjaya menarik lebih 10,000 penyertaan.

Tahun ini, peraduan lebih mantap dengan penyertaan Avon Cosmetics selaku penaja utama yang tampil di bawah tiket Kempen Keganasan Rumah Tangga.

Peraduan ini juga mendapat kerjasama daripada Jakim yang diberi mandat untuk mengendalikan sesi kursus dan seminar perkahwinan juga temu ramah peserta pada peringkat separuh akhir.

Untuk menyertai pertandingan ini, pembaca hanya perlu menghantar tiga keping gambar bersama pasangan berukuran 5R semasa majlis pertunangan berserta tarikh dan lokasi di bahagian belakang gambar.

Selain itu, mereka juga perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 20 keping kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia dan melengkapkan slogan tidak lebih 15 patah perkataan pada borang penyertaan asal yang boleh didapati dalam sisipan Mega.

Peraduan yang diadakan selama dua bulan itu menawarkan hadiah tempat pertama pakej perkahwinan bernilai RM100,000 dan wang tunai bernilai RM5,000 hadiah tempat kedua pakej perkahwinan bernilai RM80,000 dan wang tunai RM3,000.

Bagi tempat ketiga dan keempat, meraih pakej perkahwinan bernilai RM50,000 bagi setiap pasangan dan masing-masing wang tunai RM1,000 dan RM500. Selain itu, enam hadiah sagu hati berupa baucer-baucer pakej perkahwinan.

Antara para penaja peraduan yang turut serta memeriahkan peraduan ini ialah Kampung Pengantin, Mastar Catering, Precious Moment, Syokkahwin.com, Utusan Online, Picture Element, Afidah Khamis, T&T Boutique, Sri Sutra Travel, CJ Print, D'Sayang Entertainment, Dios Astana Bridal dan Preety Pictures.

Menurut Ahmad lagi, tahun ini setiap penyertaan yang diterima pihaknya dilihat lebih hebat dan menarik.

''Tahun ini, para penaja pening hendak membuat pilihan kerana dapat dilihat setiap peserta yang menyertai peraduan ini sudah membuat persiapan yang rapi.

''Bukan itu sahaja malah ada juga penyertaan yang dihantar adalah hasil kreativiti masing-masing termasuk gambar pertunangan yang lebih menarik,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: