SETIAP orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan berkekalan terutama apabila mendirikan rumah tangga.
Begitu pun kebahagiaan tidak boleh diukur berdasarkan kebendaan semata-mata. Ia perlu disusuli dengan rasa tanggungjawab, persefahaman dan komunikasi positif antara satu sama lain.
Pada masa yang sama, ikatan perkahwinan bukan sahaja dilihat menghubungkan dua individu dengan ikatan yang sah di sisi agama tetapi turut membentuk jalinan kemesraan antara keluarga kedua-dua belah pihak.
Ini diakui sendiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Keluarga, Bahagian KESUMA, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustazah Zawiah Hasan, ketika ditemui di Kursus Keluarga Sakinah sempena Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim kedua, baru-baru ini.
Menurut beliau, kebahagiaan yang dikehendaki tidak akan datang dengan sendiri, sebaliknya perlu disemai dan dibajai agar ia terus mekar dan segar.
Untuk itu tambahnya, Kursus Keluarga Sakinah yang dibangunkan oleh Jakim sebagai sebahagian modul kursus praperkahwinan jelas menggambarkan pentingnya bimbingan sebelum berkahwin.
‘‘Seperti umum ketahui, kursus praperkahwinan telah diwajibkan kepada setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga sejak tahun 1997.
‘‘Kursus yang diberikan merupakan sebahagian daripada persediaan untuk pasangan melayari alam perkahwinan. Dari situlah setiap pasangan harus berusaha membina satu rumah tangga yang harmoni,’’ ujarnya.
Menurutnya, di Malaysia setiap pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga harus menghadiri kursus praperkahwinan selama 13 jam sebelum diberikan sijil kursus perkahwinan.
Ia meliputi 12 tajuk dan disampaikan oleh fasilitator-fasilitator berpengalaman dan bertauliah yang dilantik oleh Jakim.
Jelas Zawiah lagi, melalui kursus tersebut diharapkan para peserta dapat menimba sedikit sebanyak ilmu mengenai alam perkahwinan yang dapat dijadikan rujukan kelak.
Katanya, antara objektif kursus praperkahwinan adalah untuk membantu pasangan muda menguasai kemahiran asas dalam rumah tangga, meningkatkan tahap pencapaian personaliti seorang muslim, meningkatkan motivasi untuk melayari kehidupan berumah tangga dengan serius serta mengurangkan masalah ketidaksefahaman, pergaduhan dan perceraian akibat tekanan hidup yang berpunca daripada kurang pengetahuan asas agama, psikologi dan seni rumah tangga.
Dalam pada itu Kursus Keluarga Sakinah sempena Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia musim kedua diadakan selama tiga hari dua malam bermula 12 November lalu dan disertai 100 pasangan.
Kesemua peserta terpilih daripada kira-kira 10,000 penyertaan yang diterima selepas penyerahan borang peraduan ditutup pada 9 Oktober lalu.
Peraduan yang dianjurkan oleh akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega dengan sokongan kumpulan penaja dilancarkan pada awal Ogos lalu dengan menjanjikan hadiah berupa pakej perkahwinan dan wang tunai yang keseluruhan berjumlah RM300,000.
Sementara itu, apa yang membuatkan kursus tersebut menarik, selain diadakan selama tiga hari, ia turut mengumpulkan kesemua peserta di bawah satu bumbung di mana setiap peserta ditempatkan di asrama Institut Latihan Islam (ILIM) di Bangi.
Secara tidak langsung ia dapat mengeratkan lagi hubungan setiap peserta selain dapat menghayati apa jua yang disampaikan sepanjang kursus tersebut berlangsung.
Lebih istimewa, setiap peserta juga dikehendaki menduduki ujian bertulis yang mewakili 60 peratus dalam usaha mencari yang terbaik di kalangan terbaik untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, tujuh sesi ceramah sepanjang dua hari itu telah menyaksikan para peserta didedahkan dengan soal akidah, ibadah, prosedur perkahwinan, komunikasi suami isteri, pengurusan tekanan dan konflik, pengurusan kewangan dan masa, hubungan dalam keluarga serta akhlak.
Majlis penutup kursus pula dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Othman Mustafa.
Hadir sama Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid dan Pengarah Bahagian Kesuma Jakim, Ghafani Awang Teh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: