Sunday, November 21, 2010

Hidangan stik di Rodeo Steakhouse


Inilah antara makanan kegemaran pelanggan, kata Rohana.


ORANG Malaysia gemar makan di luar terutama pada hujung minggu. Bagaimanapun ada ketikanya susah hendak mencari tempat makan yang selesa dengan hidangan makanan yang sedap dan memuaskan hati seisi keluarga.

Apa kata jika kali ini anda membuat kejutan untuk keluarga dengan membawa mereka menikmati makanan ala Barat sambil dihiburkan live band.

Sudah pasti anda sekeluarga seronok dan terhibur menjamu selera sambil berhibur dengan dendangan lagu-lagu klasik dan country.

Biasanya jika hendak mendapatkan layanan sebegini anda perlu ke restoran mahal, di hotel atau kelab.

Namun kesemua ini boleh diperolehi apabila berkunjung ke Rodeo Steakhouse. Selain makanan Baratnya yang lazat dan menyelerakan, suasana restoran yang tenang dan selesa dengan cahaya lampu malap.

Mintalah apa sahaja jenis stik, fish and chips dan chicken chop, hidangan yang disediakan pasti memenuhi selera kerana cara memasak dan penyediaan yang sama seperti di restoran stik mahal.

Malah hidangan Rodeo T-Bone steak, crabmeat sizzling, Moroccan chicken rice dan sizzling steak yang disediakan untuk dirasa oleh penulis dan jurugambar begitu lazat sekali. Setiap satu memenuhi cita rasa dan cukup perisa.

Pemilik Rodeo Steakhouse, Rohana Ariffin berkata, makanan yang dihidangkan di restorannya adalah tulen dan tiada campuran bahan-bahan perasa. Hidangan stik yang disediakan benar-benar memenuhi cita rasa setiap orang baik pelanggan Melayu atau bangsa lain.

``Semasa membuka restoran ini, saya memikirkan untuk menyediakan makanan yang lain daripada kebanyakan restoran. Sudah terlalu banyak restoran nasi campur, ikan bakar, mamak, tom yam dan sebagainya. Ramai yang suka makanan Barat seperti stik tetapi sukar mencari restoran makanan Barat ini pada harga yang berpatutan,’’ katanya semasa ditemui di Rodeo Steakhouse yang terletak di Seri Gombak Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat sebanyak 60 pilihan menu makanan Barat. Bagi menyesuaikan dengan selera masyarakat Malaysia, tiga orang tukang masaknya turut menyediakan hidangan stik bersama nasi Moroccan.

Memilih konsep hiasan dalaman koboi bagi menyesuaikan dengan nama Rodeo, Rohana menghias dinding hiasan dengan koleksi pistol yang dibeli di Jerman semasa mengikut suami bertugas di sana, 25 tahun lalu.

Poster dan topi koboi turut menjadi hiasan yang menarik di dinding .

``Sambutan yang kami terima begitu memberangsangkan daripada semua kaum. Mereka menyukai hidangan Barat kami. Biasanya mereka akan datang semula dan membawa ahli keluarga atau kawan-kawan.

``Apabila pelanggan datang ke sini, saya sering bertanya pendapat mereka mengenai makanan yang dihidangkan. Adakah memenuhi selera mereka, sedap atau tidak. Daripada situ, saya boleh memperbaiki khidmat yang diberikan. Saya tak mahu orang rasa kesal bila makan di sini.

``Selain makanan yang lazat kata mereka, mereka menyukai suasana di sini kerana tiada restoran biasa yang mempunyai live band,’’ kata Rohana lagi yang membuka restorannya dari pukul empat petang hingga dua pagi.

Tidak kurang juga yang membuat tempahan mengadakan majlis di sini. Rodeo Steakhouse turut menerima tempahan makanan bagi pelanggan yang mahu mengadakan majlis di rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: