Friday, November 5, 2010

Pelajar kolej komuniti


SEBAHAGIAN daripada pelajar Kolej Komuniti Temerloh bergambar kenangan bersama penduduk Orang Asli di Kampung Lubok Wong dan Pian di Kuala Krau, Pahang baru-baru ini.


Biarpun sibuk dengan kuliah seharian, 40 pelajar dari Kolej Komuniti Temerloh tidak melepaskan peluang untuk berkampung bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubok Wong dan Pian di Kuala Krau, Pahang baru-baru ini.

Pelajar terbabit yang terpilih untuk menyertai program bertemakan Jelajah Tamadun Pribumi Pahang itu menghabiskan masa tiga hari dua malam di perkampungan berkenaan dan tinggal bersama 20 buah buah keluarga di situ.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli itu termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kampung, ceramah motivasi, malam kebudayaan dan program dialog bersama dan aktiviti kesukanan.

Selain itu, semua pelajar berpeluang mencuba teknik menyumpit dan memasak makanan yang merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat Orang Asli berkenaan.

Pengarah program, Azlina Johan berkata, aktiviti itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kehidupan Orang Asli yang merupakan penduduk pribumi Malaysia.

"Kami merupakan duta kecil masyarakat yang merupakan pemangkin kepada kemajuan negara.

"Kita boleh menjadi contoh kepada anak-anak Orang Asli untuk terus menimba ilmu kemahiran bagi melengkapkan diri mereka ke dunia pendidikan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Temerloh yang diwakili oleh Pegawai Pengambilan Pelajar, Mohd. Yusof Yaziz berkata, ia merupakan satu aktiviti tahunan yang dilaksanakan bersama masyarakat setempat.

"Kolej Komuniti sentiasa membuka ruang kepada semua ahli masyarakat daripada golongan pelajar untuk mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: