Friday, November 5, 2010

MSU bawa irama tradisional ke Korea


Para pelajar MSU yang membawa irama tradisional tempatan ke Korea Selatan.


Seramai 21 mahasiswa Managament & Science University (MSU) berjaya mengenengahkan irama tradisional di bumi Korea Selatan sempena Festival Rakyat Antarabangsa Namsan Ke-4 2010 baru-baru ini.

Di sana, mereka telah menghiburkan para pengunjung festival tersebut dengan persembahan tarian tradisional serta koleksi lagu rakyat dengan iringan alatan muzik caklempong.

Lebih membanggakan, MSU adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi yang dijemput mengadakan persembahan di festival yang ketiga terbesar di Korea Selatan anjuran Institut Perhubungan Budaya Seoul.

Menurut peserta program itu, Shafique Sharif, penyertaan mereka pada festival tersebut yang turut disertai sembilan pasukan lain dari seluruh dunia merupakan pengalaman yang bermakna.

Katanya, ia umpama mimpi menjadi kenyataan untuk membantu mengharumkan nama negara di peringkat dunia melalui alunan muzik.

Rakannya, Stiye Keduka berkata, berkat kerjasama serta sokongan para pensyarah segalanya berjalan lancar dan gembira kerana mendapat sambutan baik yang diberikan pengunjung selepas menonton persembahan berkenaan.

"Walaupun pada mulanya pelbagai perasaan bercampur baur memandangkan ini adalah persembahan pertama kami dikhalayak umum apatah lagi pada festival sebesar ini, namun syukurlah ia berjalan seperti yang dirancangkan," katanya.

Sepanjang berada di Korea Selatan, mahasiswa tersebut dengan kerjasama Tourism Malaysia turut mengambil peluang mempromosikan barangan kraftangan kepada para pengunjung di festival berkenaan.

Antara lain, para pelajar berkenaan turut melawat Pusat Islam dan Rumah Spastik Seoul bagi menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat.

Menurut Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Mohd. Shukri Ab. Yajid, pengiktirafan itu merupakan bukti komitmen tinggi MSU dalam merentasi sempadan ilmu menerusi pembabitan dalam aktiviti kebudayaan, khidmat masyarakat serta latihan industri memberi impak positif.

"Pemilihan ini satu kebanggaan dan membuktikan jenama MSU semakin dikenali di peringkat global.

"Dengan perlaksanaan pelbagai program, MSU optimis melahirkan pelajar cemerlang, berketrampilan, berdaya saing dan mempunyai keyakinan diri tinggi sejajar dengan permintaan pasaran kerjaya yang semakin mencabar," katanya.

Tambahnya, ia juga turut mencerminkan usaha MSU dalam memperkasakan ilmu pengetahuan melalui usaha pengantarabangsaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: