Friday, November 5, 2010

Program Bakti Siswa Perdana dekatkan mahasiswa dengan masyarakat


PESERTA dan ahli jawatankuasa penganjur bergambar bersama pada Program Bakti Siswa Perdana di Padang Rengas, Perak, semalam.


PADANG RENGAS 30 Okt. - Program Bakti Siswa Perdana anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) bukan sahaja mendekatkan diri mahasiswa dengan masyarakat setempat, tetapi juga menjayakan aspirasi kerajaan negeri.

Pengarah program, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, melalui program anak angkat yang disertai 72 mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu, mereka berpeluang untuk menyampaikan dasar kerajaan negeri secara terus kepada keluarga angkat masing-masing.

"Program Bakti Siswa yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama GMP ini akan diperluaskan ke 32 daerah di seluruh negeri ini menerusi Persatuan Anak Perak yang terdapat di semua institusi pengajian tinggi (IPT).

"Mahasiswa UPSI telah diberi penghargaan untuk menganjurkannya buat kali pertama menerusi Himpunan Anak Darul Ridzuan (Hadari)," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Program selama tiga hari dua malam yang bermula semalam dirasmikan oleh Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa pada Majlis Penyerahan Watikah dan Anak Angkat di Sekolah Menengah Tun Perak, Padang Rengas.

Pada hari ini, seramai 130 pelajar tingkatan lima daripada empat buah sekolah mengikuti program motivasi kendalian mahasiswa UPSI sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 23 November ini.

Empat buah sekolah yang mengikuti program tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar, Sekolah Menengah Agama (SMA) Ad-Diniah dan SMA Yahya Wiah, Kuala Kangsar.

Selain program motivasi, aktiviti sukaneka dan gotong-royong bersama keluarga angkat, sebuah forum Wacana Perpaduan Ummah bertajuk Memartabatkan Keutuhan Agama dan Bangsa juga akan disampaikan oleh Pengerusi GMP, Datuk Seri Hilmi Ismail.

Dalam pada itu, seorang peserta, Muhamad Fauzie Mansor, 22, berkata, penganjuran program tersebut memberikan peluang kepadanya untuk turut sama memberikan bimbingan kepada seorang anak ahli keluarga angkatnya yang bakal menduduki SPM.

Dia yang juga merupakan pelajar tahun dua Pengajian Bimbingan dan Kaunseling UPSI berkata, program tersebut secara tidak langsung memberikan pendedahan kepadanya terhadap suasana kehidupan sebenar di desa.

Sementara itu, pelajar tahun dua Pengajian Malaysia dengan Pendidikan UPSI, Mohd. Fhazrul Afifi Zainor Azizi berkata, dia sangat teruja dapat menyertai program tersebut kerana dapat menimba pengalaman berbeza.

"Saya sudah tiga kali menyertai program Bakti Siswa sebegini, tetapi kali ini keluarga angkat saya memberikan layanan yang cukup istimewa kepada saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: