![]() |
| Nurzaharatul Naim berkongsi kegembiraan bersama ibunya, Faridah Musa di Sekolah Rendah Kebangsaan Jitra 3 di Jitra, Kedah, semalam. |
Jitra 11 Nov. - Kesukaran seorang murid Sekolah Kebangsaan Jitra 3 yang terpaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam keadaan kesakitan berbaloi apabila dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A.
Senyuman tidak lekang daripada bibir Nurzaharatul Naim Hasbollah, 12, yang menderita sejenis penyakit kulit, 'Erythrodermic Psoriasis' apabila mengambil keputusan UPSR di sekolah itu pagi ini.
Nurzaharatul Naim yang datang ke sekolah bersama bapa dan ibunya, Hasbollah Md. Isa, 42, dan Faridah Musa, 39, berkata, dia sangat gembira kerana walaupun sakit dia berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.
"Selepas peperiksaan percubaan pada Julai lalu, saya tidak dapat ke sekolah kerana keadaan penyakit saya semakin serius sehingga September lalu.
"Biarpun tidak dapat ke sekolah dan hanya terlantar di rumah, namun cikgu dan kawan-kawan sering datang ke rumah membawa kerja sekolah serta nota-nota tambahan," ujarnya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Kisah Nurzaharatul Naim yang menderita 'Erythrodermic Psoriasis' pernah disiarkan Utusan Malaysia pada 22 September lalu.
Penyakit anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Taman Bersatu di sini menjadi bertambah teruk setiap kali tiba bulan Julai sehingga September apabila kulitnya gatal dan mengelupas di seluruh badan.
Ketika itu murid berkenaan tidak mampu berjalan dan hanya baring di atas katil menyebabkan dia sukar melakukan aktiviti seharian termasuk ke sekolah.
Penyakit yang dialami kanak-kanak itu sejak dilahirkan tidak berjangkit dan sukar untuk diubati.
Sementara itu Faridah berkata, dia mengharapkan kecemerlangan itu akan berterusan kerana mahu anak perempuannya itu berjaya seperti orang lain.
"Saya tidak mahu dia terus mengalah disebabkan penyakitnya dan syukur dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR dan ini merupakan permulaan untuk mencipta lebih banyak kejayaan," katanya.
Tambahnya, dia tidak berhasrat untuk membenarkan anaknya itu tinggal di asrama selepas ini kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan walaupun Nurzaharatul layak.
"Dia akan meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra dekat sini kerana senang untuk saya dan suami memantau keadaan kesihatannya," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: