![]() |
| Hattan dan Nurul gembira dengan keputusan UPSR Adam dan Ayu Nazirah di Sekolah Kebangsaan Tun Dr. Ismail (1), Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Dua anak penyanyi terkenal tanah air, Ayu Nazirah Mohd. Faizal dan Adam Eiman Mohd. Shukri merupakan antara 105 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di sini yang berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
Ayu ialah anak kepada penyanyi Nurul atau Nurul Huda Wahab bersama bekas suaminya komposer Ajai manakala Adam pula anak lelaki tunggal penyanyi Hattan atau Mohd. Shukri Shahabudin.
Lebih menarik, kedua-duanya merupakan rakan baik yang belajar dalam kelas yang sama iaitu Enam Berlian di sekolah berkenaan.
Menurut Adam, dia sendiri tidak menyangka akan mendapat keputusan itu kerana sewaktu peperiksaan percubaan, keputusan yang diperolehinya sekadar 3A 2B.
Sementara itu, Hattan yang hampir menitiskan air mata dengan kejayaan anaknya itu berkata, beliau menyerahkan kepada Adam untuk meneruskan pelajaran di sekolah menengah yang difikirkan sesuai.
"Saya akui kesibukan dengan kerjaya sebagai penyanyi kadang-kala membataskan waktu untuk diluangkan bersama Adam apatah lagi status saya sebagai bapa tunggal. Namun saya gembira kerana ibunya juga mengambil berat mengenai pelajaran Adam," katanya.
Bagi Nurul pula, kejayaan anaknya itu merupakan hasil usaha semua pihak terutamanya pihak sekolah yang menyusun jadual kelas tambahan dengan teratur sejak anaknya di tahun satu lagi.
"Saya turut menghantar Ayu ke kelas tambahan di luar dan pada masa yang sama selalu mengingatkan dia supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya kerana pelajaran merupakan jaminan masa depan," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: