![]() |
| Murid OKU rabun penglihatan, Muhammad Daie Roslan yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seri Kemudi Bachok menerima ciuman tahniah daripada ibunya, Hasmiza Abdullah semalam. |
BACHOK 11 Nov. - Pengorbanan seorang ibu bersengkang mata menunggu anak lelakinya yang rabun mata sejak lahir mengikuti kelas intensif, ternyata membuahkan hasil apabila anaknya itu mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Telah menjadi rutin ibu tersebut, Hasmiza Abdullah, 34, dari Kampung Kubang Kawah di sini, menghantar dan menunggu Muhammad Daie Roslan, 12, mengikuti kelas tambahan di Sekolah Kebangsaan Kubang Golok terutama ketika menjelang minggu-minggu terakhir ujian berkenaan.
Dia akan menunggu anaknya itu yang menyertai kelas intensif dan latih tubi yang diadakan bermula pukul 7.30 pagi hingga 10 malam.
Sepanjang menyertai kelas tersebut, Muhammad Daie yang menderita penyakit Both Eyes Anblyopia atau masalah penglihatan terhad dan rakan-rakannya dikehendaki datang ke kelas berkenaan dan mereka hanya dibenarkan pulang pukul 10.30 malam.
Walau pun sarat mengandung ketika itu, Hasmiza tetap menggalakkan anak lelaki sulungnya itu menyertai kelas berkenaan.
"Saya berpuas hati kerana penat lelah menghantar dan kemudian menunggunya, berbaloi kerana dia memperoleh keputusan itu," katanya ketika ditemui di sekolah Kebangsaan Kubang Golok di sini, hari ini.
Hasmiza memberitahu, sejak kecil lagi Muhammad Daie telah dikesan menghidap penyakit rabun dan dikatakan belum ada rawatan yang mampu memulihkan masalah penglihatannya itu.
Katanya, disebabkan penyakit tersebut, Muhammad Daie mengalami masalah untuk membaca dan menulis.
"Dia perlu membaca atau menulis pada jarak lapan hingga 14 sentimeter. Dia juga perlu membaca pada keadaan suasana yang cerah bagi memudahkannya melihat tulisan.
"Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh membiarkannya bersendirian ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah," katanya yang bersyukur dengan pencapaian anak lelakinya itu.
Pencapaian cemerlang Muhammad Daie itu membolehkannya muncul murid cemerlang kategori berkeperluan khas peringkat negeri.
Sementara itu, Muhammad Daie melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada guru-guru, rakan-rakan dan kedua ibu bapanya yang banyak membantu.
Dalam pada itu, Guru Besar sekolah berkenaan, Shafei Che Noh berkata, 150 murid menduduki UPSR 2010 dan daripada jumlah itu, 34 orang mendapat 5A iaitu lebih tinggi berbanding tahun lalu seramai 24 orang.
"Kejayaan itu yang julung-julung kalinya dicapai adalah hasil komitmen guru-guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: