Tuesday, November 9, 2010

Nilai-nilai positif filem CWL


KA SIONG (kiri) dan Azizah (kanan) beramah mesra bersama krew yang menjayakan filem Communicate With Love.


CERITANYA ringkas. Kisah seorang kanak-kanak yang baru menempuhi zaman persekolahan dan tidak berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan telah digarap kemas dalam durasi sebuah filem pendek.

Walaupun ringkas, karya berdurasi lima minit oleh pelajar-pelajar darjah empat dan lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan itu mengungguli tempat pertama dalam pertandingan Kid Witness News 2010 (KWN) peringkat kebangsaan.

Karya itu sarat dengan nilai-nilai positif dan dikembangkan melalui watak seorang kanak-kanak yang bernama Alif. Seorang guru wanita telah membantu kanak-kanak bercermin mata itu untuk tampil lebih yakin. Alif akhirnya berjaya keluar daripada kepompong tersebut. Namun, ketika berada di puncak kejayaan, guru yang banyak membantunya sudah tiada di sisi.

Idea menyentuh hati itu dihasilkan oleh enam orang krew produksi filem tersebut yang terdiri daripada pengarah, jurukamera, penulis skrip dan lain-lain krew.

“Cikgu banyak membantu kami dalam memberikan tunjuk ajar dan idea untuk menghasilkan filem ini. Tanpa beliau, kami mungkin tidak mencapai kejayaan ini,” kata pengarah filem bertajuk Communicate With Love, Muhammad Afiq Samsuri, 10.

Menurut Muhammad Afiq, filem pendek yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan itu telah memilih kawasan sekitar SK Sikamat sebagai lokasi penggambarannya. Dalam tempoh itu juga pelbagai cabaran dihadapi seperti melayan kerenah rakan-rakan yang kadangkala hilang fokus.

Bagi jurukamera di dalam produksi tersebut, Siti Nurfarzana Ismail, 11, tugas yang dilakukannya itu adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana minatnya yang mendalam dalam bidang perfileman.

Dia mengakui sering menggunakan kamera milik ibunya dan merakamkan gambar dan video ahli keluarganya untuk kepuasan sendiri.

Melayan kerenah

“Lazimnya, pada hari raya, sayalah yang akan menjadi jurukamera untuk merakam video saudara-mara.

“Kini, saya diberi peluang menggalas tanggungjawab sebagai jurukamera untuk menghasilkan filem ini dan saya berbangga kerana dapat melakukannya,” katanya.

Kejayaan mereka meraih gelaran Anugerah Utama dan Anugerah Konsep Kreatif itu pasti tidak akan dicapai tanpa usaha yang ditunjukkan oleh guru mereka, Fatimah Talip, 28.

Guru yang mengajar subjek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah tersebut perlu bersabar melayan kerenah para pelajarnya supaya mereka memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang penggambaran.

“Biasalah, kanak-kanak pada usia ini agak nakal dan aktif. Cabaran ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membimbing mereka sehingga berjaya.

“Saya berharap dengan kejayaan mereka ini akan memberikan suntikan semangat agar terus maju dalam bidang yang diceburi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong di Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley City, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Cabaran mereka bukan terhenti di situ kerana filem pendek tersebut bakal mewakili Malaysia untuk dipertandingkan dalam pertandingan KWN peringkat wilayah.

KWN adalah sebuah program pendidikan video global usaha daripada Panasonic untuk pelajar-pelajar sekolah di seluruh dunia.

Tanggungjawab sosial

Pertandingan video pendek dalam bentuk dokumentari, berita, drama dan hebahan awam itu mengangkat tema alam sekitar, komunikasi dan kampungku.


MUHAMMAD AFIQ (tiga dari kanan) dan jurukamera, Siti Nurfarzana (tiga dari kiri) bersama barisan krew yang menjayakan filem Communicate With Love.


“Usaha ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami dan sebagai aktiviti kurikular tambahan untuk mengasah kemahiran pembangunan, kreativiti dan kerja berpasukan pelajar-pelajar sekolah.

“Tahun ini merupakan kali keenam program seumpamanya dianjurkan dengan kerjasama daripada Kementerian Pelajaran,’’ kata Pengurus Besar Komunikasi Korporat & Penjenamaan Panasonic Malaysia, Azizah Wahid.

Menurut Azizah, pemenang pertandingan di peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke peringkat wilayah dan pemenang akan ke peringkat global.

Tahun ini, buat julung kalinya KWN Malaysia telah terpilih dalam Pertandingan Global 2010 yang bersaing dengan Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Kanada. Sekolah King George V Seremban memenangi Videografi Terbaik pada pertandingan global di Jepun pada bulan Julai lalu.

Setakat ini, lebih 1,000 pelajar daripada 300 buah sekolah di seluruh negara terlibat dalam program KWN Malaysia. Bagi program tersebut, Panasonic Malaysia menyediakan 70 unit kamera video semi-pro selain aksesori seperti mikrofon, fon kepala dan tripod.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: