KEMPEN Beramal Sambil Bergaya yang dianjurkan Gleneagles Kuala Lumpur berjaya mengumpul dana sebanyak RM75,000 dan jumlah itu disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Ketua Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur, Amir Firdaus Abdullah melahirkan penghargaan kepada orang ramai dan penaja yang telah menyokong pelaksanaan kempen tersebut.
"Kami amat gembira melaksanakan tanggungjawab korporat sosial (CSR) ini dengan melibatkan masyarakat umum sepanjang sebulan kempen berlangsung," kata Amir Firdaus pada majlis sumbangan baru-baru ini.
Tambah beliau, Gleneagles Kuala Lumpur berjaya menghantar mesej untuk menggalakkan orang ramai tampil menghulurkan sokongan bagi membantu kempen pemulihan kanser payu dara melalui kesedaran dan pemahaman mengenai penyakit itu.
Kempen kutipan dana amal yang dilancarkan bulan lalu itu turut menerima sokongan penaja utama, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (Great Eastern).
Ketua dan Naib Presiden Kanan Jabatan Modal Insan Great Eastern, Nancy Lim memberitahu, kempen berkaitan kanser payu dara tidak akan berhenti pada 31 Oktober setiap tahun.
"Kejayaan kempen ini pastinya mendorong kami di Great Eastern untuk meneruskan beberapa inisiatif CSR lain yang akan dijalankan dalam masa terdekat demi membantu pesakit kanser payu dara," ujarnya.
Presiden BCWA, Ranjit Kaur pula berkata, sumbangan ini sudah pastinya akan membantu badan itu melaksanakan pelbagai aktiviti, kempen dan inisiatif lain yang dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya kanser payu dara.
"BCWA amat menghargai sumbangan berterusan dari organisasi seperti Gleneagles Kuala Lumpur, Great Eastern dan masyarakat umum.
"Sumbangan ini akan menyokong usaha kami untuk meningkatkan aktiviti kesedaran dan bantuan kepada wanita yang menghidapi kanser payu dara. Usaha itu dicapai melalui program Mobile Unit Reaching Out Nationwide with Information (MURNI) yang akan dimulakan oleh BCWA tidak lama lagi," kata Ranjit.
Jelas Ranjit, sebahagian daripada jumlah kutipan terbabit akan disalurkan ke program prostesis untuk pesakit yang memerlukan. Prostesis amat penting kerana ia akan membantu pesakit pulih melalui pemantapan imej diri dan pembetulan postur badan.
Sebanyak 3,000 beg membeli-belah kitar semula telah direka khas oleh pereka terkenal, Bill Keith, yang dikenali sebagai Pink Couture telah dijual kepada umum sepanjang bulan Oktober lalu bagi mengumpul dana untuk kempen tersebut.
Beg kanvas Pink Couture yang berukuran 48.3 sentimeter (sm) x 35.6 sm dijual pada harga RM25 setiap satu. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh Gleneagles Kuala Lumpur, layari www.gleneagleskl.com.my
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: