KEGILAAN masyarakat dunia terhadap sukan bola sepak sememangnya tidak dapat dinafikan. Setiap kali musim Kejohanan Piala Dunia, hampir segenap lapisan masyarakat pelbagai peringkat umur dan jantina akan menikmatinya dengan cara tersendiri.
Permainan di atas padang yang memerlukan 11 orang pemain bagi setiap pasukan, konsep sukan yang bertaraf dunia itu berkembang sehinggalah wujudnya ciptaan permainan yang sama menggunakan komputer.
Walaupun kaedahnya sudah berubah, namun permainan bola sepak menerusi komputer dan gajet-gajet canggih seperti Playstation tetap menjadi kegilaan masyarakat dunia.
Disebabkan aura yang dibawa oleh sukan bola sepak terlalu kebal dan tinggi, maka kaedah permainannya telah berkembang tetapi kali ini menggunakan robot sebagai pemainnya.
Walaupun kedengaran agak pelik, namun kejayaan kaedah itu telah dibuktikan menerusi penganjuran pertandingan Micro Robot Soccer Tournament (Mirosot) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Bagi mendalami corak dan kaedah permainan itu, Kosmo! bertemu dengan pasukan dari Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang yang menempa kejayaan dengan memenangi tempat ketiga dalam Kejohanan Mirosot peringkat antarabangsa yang diadakan di Bangalore, India pada pertengahan bulan September lalu.
Jurulatih pasukan, Sazali Husin, yang juga pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik (Komputer) di PSP memberitahu, institusi itu memperoleh set robot yang disumbangkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi tiga tahun lalu khusus untuk menyertai pertandingan tersebut.
Jelasnya, walaupun setiap Politeknik diberi robot-robot yang diimport dari Singapura, namun kebolehan setiap robot untuk bermain dengan baik di padang bergantung kepada talaan yang dibuat oleh pasukan masing-masing.
“Sejak memperoleh set robot ini, kami telah cuba mengesan kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem perisian komputer untuk permainan tersebut.
“Dari situ, kami telah meningkatkan kebolehan dan kecekapannya menerusi pengubahsuaian dan menaiktaraf perisian komputer yang dicipta khas untuk kegunaan permainan ini dan akhirnya kami berjaya menempa kejayaan pada tahun ini,” katanya yang memberitahu tahun 2010 merupakan penyertaan kali keempat PSP menghantar wakil ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Menurut Sazali, setiap tahun tiga pemain yang merupakan pelajar dari jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Komputer) akan dipilih dan dilatih untuk menyertai pertandingan itu.
Teknik kawal robot
Bagi mewakili PSP, tahun ini pasukan tersebut terdiri daripada Amir Hamzah Abu Bakar, 22, Mohd. Akram Amin Mohd. Noor, 21, dan Abdul Salam Ali, 22. Mereka telah dilatih sejak awal tahun lalu kaedah dan teknik untuk membuat talaan dan mengawal pergerakan setiap robot.
Jelasnya, walaupun permainan bola sepak robotik itu menggunakan corak permainan yang sama seperti di atas padang iaitu mempunyai sepakan penalti, sepakan percuma, sepakan gol dan tendangan bebas, tetapi mengawal permainan menggunakan robot bukanlah sesuatu yang mudah.
Segala-galanya bergantung kepada perisian yang telah ditala dan perlu dikawal menggunakan komputer.
Bercerita mengenai cara mengawal pergerakan robot di atas padang sewaktu permainan berlangsung, Amir Hamzah yang bertindak selaku ketua pasukan memberitahu, setiap robot yang berada di atas padang khas akan dikawal selia oleh tiga orang pemain bagi setiap pasukan. Setiap perlawanan akan berlangsung selama 10 minit iaitu lima minit bagi setiap separuh masa perlawanan.
“Selaku pemain utama, dalam pasukannya yang mengawal pergerakan robot, saya menggunakan komputer yang akan memaparkan rakaman video dan sebuah kamera khas yang dipasang di palang atas padang permainan,” kata Amir Hamzah.
Talaan mengikut frekuensi
Sementara itu, Mohd. Akram pula akan bertindak sebagai pemain kedua yang akan berada di tepi padang bagi memantau pergerakan robot-robot manakala Abdul Salam sebagai pemain ketiga yang akan berdiri di belakangnya untuk memantau setiap pergerakan robot dan memaklumkan perkembangan sepanjang perlawanan itu berlangsung.
“Setiap robot akan ditanda warna khas berdasarkan posisinya dalam padang sama ada sebagai penjaga gol, pertahanan atau penyerang.
“Sebagai pemain utama, saya akan membuat talaan pada setiap robot pasukan kami dengan komputer terlebih dahulu dan melihat kesesuaian cahaya di padang ketika permainan agar ia menyamai warna yang dipaparkan pada skrin komputer,” katanya.
Dalam pertandingan, setiap pasukan akan diberi masa kira-kira sejam untuk membuat talaan terutama mencari kesamaan warna yang ada pada robot dan warna yang dipapar pada skrin agar isyarat yang dihantar oleh komputer menerusi frekuensi dapat diterima dengan jelas oleh setiap unit robot.
Ketika itu katanya, setiap pasukan akan bekerja keras bagi memastikan isyarat yang telah ditala menerusi perisian akan sampai ke robot dengan cepat dan tepat sepanjang perlawanan berlangsung.
Menurut Amir Hamzah, sebaik perlawanan dimulakan, pemain utama yang mengawal komputer tidak lagi dibenarkan menyentuh set komputer termasuklah tetikus.
Justeru, setiap pasukan yang bertanding mempunyai peluang yang sama untuk menang dalam pertandingan kerana setiap lokasi pertandingan memerlukan kemahiran pemain untuk menala dengan tepat.
“Saya percaya kejayaan yang kami kecapi dalam pertandingan di peringkat antarabangsa di India banyak dipengaruhi oleh kecekapan membuat talaan hasil latihan yang berterusan sejak awal tahun,” kata Amir Hamzah.
Pasukan Amir Hamzah turut menempa kejayaan di peringkat kebangsaan dengan memenangi tempat kedua pada pertandingan Piala Fira Malaysia 2010 yang diadakan di Politeknik Kota Bharu, Kelantan pada awal Julai lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: