Friday, November 5, 2010

Raja Muda Perlis dianugerah Ijazah Kehormat Pendidikan Universiti Australia


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima Ijazah Doktor Kehormat Bidang Pendidikan daripada Sylvia Walton di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Nov. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Pendidikan daripada Universiti La Trobe, Australia dalam satu majlis di sebuah hotel di ibu negara.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan graduan ekonomi dari universiti berkenaan pada tahun 1989 bertitah, pendidikan merupakan kunci meneroka bidang terbaik dalam diri setiap insan.

"Ilmu pengetahuan tidak mengenal batas sempadan. Dalam dunia hari ini, perhubungan dan rangkaian telah menjadi penting.

"Oleh itu, beta juga telah memulakan usaha membina rangkaian luar untuk meletakkan Unimap di persada antarabangsa," titah baginda selepas menerima ijazah itu daripada Canselor Universiti La Trobe, Sylvia Walton.

Menurut Raja Muda, penganugerah itu juga mengimbau semula memori ketika baginda bergelar mahasiswa di universiti berkenaan.

"Sepanjang menjadi penuntut di La Trobe, beta bukan hanya belajar dalam kelas sebaliknya keadaan persekitaran di negara asing turut mengajar beta menjadi seorang yang berdikari, kreatif dan kritikal," titah baginda.

Sementara itu, Sylvia berkata, penganugerah itu merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha yang dijalankan Tuanku Syed Faizuddin dalam membangunkan peluang pendidikan di negara ini dan Perlis.

"Dengan kedudukan baginda sebagai Canselor, pelbagai usaha dilakukan untuk mengukuhkan kerjasama aktif antara dua universiti ini," katanya.

Turut hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pengerusi Persatuan Alumni Universiti La Trobe Malaysia (Paltum) dan beberapa ahli alumni kenamaan lain iaitu Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isterinya, Prof. Datin Paduka Jamilah Ariffin serta Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: