Saturday, November 6, 2010

Kediaman keluarga diraja Britain


KEUNIKAN Istana Buckingham menjadikannya antara destinasi yang wajib dilawati di kota London.


KELUARGA diraja Britain merupakan salah satu monarki yang paling berpengaruh di dunia. Sejarah monarki itu bermula selepas William ‘si penakluk’ ditabalkan menjadi Raja England pada 25 Disember 1066.

Ketika ini, Ratu Elizabeth II, 84, merupakan monarki ke-40 yang menaungi sistem diraja Britain. Elizabeth II dilantik menggantikan bapanya, Raja George VI pada tahun 1952 ketika umurnya 26 tahun.

Kediaman rasmi keluarga diraja itu terletak di Istana Buckingham di bandar Westminster di tengah kota London. Istana tersebut merupakan kediaman rasmi keluarga diraja Britain selain menjadi ibu pejabat pentadbiran. Ia juga menjadi tempat berlangsungnya acara diraja dan lawatan rasmi yang dikendalikan oleh Royal Household.

Menurut sejarah, istana tersebut dibina pada tahun 1702 oleh Duke of Buckingham sebagai kediaman rasminya di London. Raja George III kemudiannya membeli Rumah Buckingham pada tahun 1761 untuk isterinya Permaisuri Charlotte, yang dijadikan kediaman keluarganya.

Ia kemudian dikenali sebagai rumah Permaisuri dan 14 daripada 15 anak Raja George III dilahirkan di situ.

Pada tahun 1762, kerja-kerja mengubahsuai dilakukan mengikut kehendak Raja dan ia direka oleh Sir William Chambers dengan kos 73,000 pound (RM345,270). Raja George IV yang mewarisi takhta pada tahun 1820 pula bercadang untuk membina semula rumah itu dan masih menggunakannya seperti ayahandanya.


ISTANA Buckingham menyimpan pelbagai khazanah dan hasil karya yang bernilai tinggi milik keluarga diraja.


Kerja-kerja pengubahsuaian

Ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan sekitar tahun 1826, Raja mengubah pendirian untuk menjadikan rumah itu sebagai istana. Menggunakan kepakaran John Nash, Parlimen meluluskan bajet 150,000 pound (RM739,863) namun Raja menekan sehingga 450,000 pound (RM2.2 juta) sebagai nilai yang lebih realistik.

Nash mengekalkan bangunan utama namun menggandakan saiznya dengan menambah beberapa suite baru di bahagian taman yang menghadap ke arah barat.

Sayap utara dan selatan Rumah Buckingham juga diroboh dan dibina semula dengan saiz lebih besar. Pembinaan tersebut menggunakan Marble Arch untuk memperingati kemenangan British di Trafalgar dan Waterloo.

Pada tahun 1829, kos pembinaan meningkat hingga setengah juta pound (RM2.4 juta). Selepas kematian Raja George IV pada tahun 1830, adik bongsunya, William IV pula menggunakan kepakaran Edward Blore bagi menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian.

Ratu Victoria merupakan raja pertama mengambil alih istana tersebut pada tahun 1837, tiga minggu selepas menaiki takhta.

Secara keseluruhan, istana itu mengandungi 775 buah bilik. Ia merangkumi 19 bilik rasmi, 52 bilik tidur diraja dan tetamu, 188 bilik staf, 92 pejabat dan 78 bilik air.

Ukuran bangunan tersebut meliputi 108 meter panjang melintasi bahagian hadapan, 120 meter ke dalam (termasuk segi empat tengah) dan 24 meter tinggi. Biarpun banyak pengubahsuaian dilakukan, namun bahagian depan istana itu masih kekal seperti 300 tahun lalu. Apa yang pasti, rekaannya sangat bernilai dan unik yang melambangkan sistem raja berperlembagaan di Britain.

Di bahagian belakang istana, terdapat sebuah taman dan sebuah tasik buatan yang diiktiraf sebagai antara taman peribadi terbesar di London. Di depan Istana Buckingham, terdampar jalan merah yang kelihatan begitu teguh, dibina hasil sumbangan negara-negara yang pernah terletak di bawah jajahan British.

Kunjungan musim panas

Berhampiran istana itu, tersergam sebuah tugu besar untuk memperingati Ratu Victoria. Ia direka oleh Sir Thomas Brock pada tahun 1911, manakala kawasan sekelilingnya direka oleh arkitek Sir Aston Webb yang menggunakan lebih 2,300 tan marmar putih.

Berhampiran istana tersebut, terletak Royal Mews iaitu sebuah kawasan yang menyimpan kuda dan kenderaan rasmi diraja termasuk Gold State Coach yang digunakan pada upacara-upacara kebesaran.


BILIK Negara ini hanya dibuka kepada pengunjung dari bulan Julai hingga September.


Dianggarkan, setiap tahun 50,000 tetamu menghadiri majlis-majlis rasmi seperti jamuan, resepsi dan parti taman diraja.

Bilik Negara di Istana Buckingham dibuka kepada pengunjung pada permulaan musim panas dari bulan Julai hingga September. Di sini pengunjung boleh melihat beberapa khazanah dan hasil karya bernilai tinggi milik diraja.

Antaranya ialah lukisan karya-karya pelukis tersohor seperti Rembrandt, Rubens, Vermeer, Poussin, Canaletto dan Claude; arca-arca oleh pereka Canova dan Chantrey serta pelbagai porselin dan perabot terbaik dunia buatan Inggeris dan Perancis.

Salah satu tarikan pelancong ke istana itu ialah majlis pertukaran tugas mengawal istana. Dari segi sejarah, kawalan di istana tersebut melibatkan anggota pasukan keselamatan negara-negara Komanwel bermula sejak bulan September 1916. Setakat ini negara yang diberi kepercayaan untuk memikul tugas itu ialah Kanada, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Sri Lanka, Pakistan, Jamaica dan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: