
UMUM mengetahui, Australia sebuah negara yang cukup terkenal dengan peraturan dan undang-undang ketatnya terhadap sebarang produk makanan dari luar untuk memasuki negara tersebut.
Mereka yang ingin membawa masuk bahan makanan walaupun dalam kuantiti yang kecil sekalipun ke negara itu sama ada jalan laut atau udara akan berhadapan pelbagai soalan pihak kastam negara itu, dan jika jawapan yang diberi tidak memuaskan, makanan itu akan terus di'tongsampah'kan tanpa banyak soal.
Bagaimanapun, usaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) yang diketuai oleh pengerusi eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammed membawa masuk pelbagai jenis produk makanan tempatan ke negara itu untuk penganjuran 1Malaysia Best Carnival di Perth baru-baru ini, adalah sesuatu yang membanggakan setelah berjaya menembusi 'tembok tebal' pihak kuarantin negara itu.
Ia boleh dianggap sebagai langkah pertama untuk konsortium itu melebarkan tapaknya ke negara itu melalui pintu masuk Perth.
Selepas berhadapan dengan pelbagai kerenah dari aspek kawalan dan proses kuarantin makanan negara itu serta pemeriksaan ketat yang agak 'cerewet' yang terpaksa dilalui oleh Komita, akhirnya karnival itu berjaya dilaksanakan.
Ini bermakna produk makanan ringkas, sejuk/beku dan halal tempatan yang dibawa masuk Komita untuk menyertai karnival itu diiktiraf dan diakui kebersihan dari segi kualitinya oleh pihak berkuasa negara itu.
Karnival yang disertai oleh 32 usahawan Melayu itu mempamerkan pelbagai jenis produk makanan ringkas sejuk/beku, kering dan halal mereka.
Malah, sepanjang karnival itu, terdapat di kalangan usahawan terbabit turut mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak pengusaha di negara itu dalam merancang dari segi pemasaran dan pengedaran beberapa produk makanan.
Malah, para pengusaha negara itu juga banyak bertanyakan pelbagai soalan dan maklumat terhadap produk makanan Malaysia.
Selain mendapat sambutan rakyat Malaysia yang menetap di Perth, karnival itu turut dihadiri oleh rakyat negara itu sendiri yang ingin merasai dan menikmati pelbagai jenis makanan yang turut disajikan untuk para pengunjung.
Karnival yang diadakan di Pavilion Jim Webster, Claremont itu, mendapat sambutan hangat, apatah lagi, terdapat produk-produk makanan yang habis dijual pada hari pertama sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung.
Kehangatan karnival itu turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Claremont, Jock Barker dan juga konsulat Jeneral Malaysia di Perth, Hamidah Ashari yang bersama-sama melancarkan perasmian karnival tersebut.
Di samping merasai pelbagai jenis makanan yang dimasak oleh Cef Liza Zainol yang dibawa khas ke karnival itu, para pengunjung tertarik dengan keenakan produk makanan yang pertama kali diperkenalkan kepada mereka.
Kehadiran produk-produk makanan dari Malaysia itu juga sememangnya dinanti-nantikan khususnya oleh masyarakat Islam di Perth kerana kesukaran mendapatkan produk halal di negara ini.
Antara produk makanan popular yang mendapat sambutan 'hangat' pada karnival itu ialah murtabak raja tuna berperisan nanas salsa keluaran Muslim Best, popiah, jus asam jawa asli, serunding ayam dan ikan.
Selain itu, pelbagai jenis sos dan minuman ringan, biskut, kerepek pisang dan ubi, keropok lekor, otak-otak, karipap yang kesemuanya sudah siap dibungkus, serta minyak soya jenama Saji keluaran Delima Oil Sdn. Bhd. anak syarikat Felda.
Selain ahli Komita, usahawan-usahawan dan wakil di bawah agensi-agensi kerajaan seperti Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Felda turut menyertai karnival tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: