Thursday, November 25, 2010

Mencari ketenangan di Spa D’aura


Pelbagai jenis urutan boleh diperoleh di Spa D`Aura.


DINA Abu Bakar, 29, mendakwa spa miliknya, D‘Aura Spa merupakan salah satu daripada spa terbesar di Malaysia. Mungkin juga ada benarnya kerana spa yang terletak di Plaza South City, Seri Kembangan itu meliputi keluasan kira-kira 4,900 meter persegi dan merupakan spa bertaraf lima bintang.

Ia menyediakan 20 bilik rawatan di dengan setiap memiliki rekaan yang berbeza.

D‘ Aura Spa menyediakan bermacam-macam jenis rawatan yang diperlukan oleh pelanggan bagi ketenangan mental dan fizikal.

Di antara jenis rawatan yang boleh diperoleh di sini ialah urutan aroma terapi, urutan Bali, urutan tradisional, skrub, masker badan, tangas, rawatan muka, kuku tangan dan kaki, rawatan rambut, pakej pengantin, resdung dan banyak lagi.

‘‘Pelanggan yang datang untuk mendapatkan rawatan pasti merasai ketenangan kerana rawatan dilakukan oleh kakitangan yang berpengalaman dalam bilik yang dilengkapi dengan alunan muzik perlahan, bunyi aliran air yang mendamaikan dengan cahaya lampu yang samar-samar,’’ kata Dina yang ditemui di spa tersebut baru-baru ini.

Spa yang baru setahun dibuka itu memilih konsep Bali dan kontemporari.

Pertama kali datang pengunjung mungkin tidak melihat keistimewaannya.

Namun apabila dibawa ke tingkat bawah spa di mana terletak kesemua bilik rawatan, baru dapat dilihat keunikannya.

Bahagian tengah ruang spa terdapat kafe dengan susunan meja dan kerusi rotan yang nampak eksklusif.

Menurut Dina, biasanya selepas rawatan, pelanggan pasti akan berasa lapar.

Justeru itu, D‘ Aura Spa terfikir untuk menyediakan kafe di mana pelanggan boleh menikmati makanan ringan untuk mengalas perut seperti minuman kopi, teh, roti bakar, telur setengah masak dan sebagainya.

‘‘Spa ini boleh dikatakan sebagai spa kesihatan sehenti dengan pelbagai jenis rawatan. Melihat pada sambutan yang diberikan oleh pelanggan, selepas ini saya bercadang untuk membuka butik dan kedai andaman di sini,’’ ujar Dina yang berpengalaman empat tahun menguruskan perniagaan spa.

Kata Dina, dia memilih perniagaan spa kerana memahami ramai penghuni kota yang sering menghadapi tekanan dengan persekitaran yang sibuk dan bising.

‘‘Minda dan fizikal yang tidak dijaga akan menjadikan wajah dan tubuh nampak tua daripada usia sebenar. Jadi demi kesihatan dan kecantikan, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan di spa untuk mengembalikan kecergasan tubuh.

‘‘Harga yang dikenakan bagi setiap jenis rawatan adalah amat berpatutan dengan rawatan bertaraf eksekutif. Kami mempunyai ramai pelanggan tempatan dan tidak kurang juga pelanggan bangsa asing.

‘‘Bagi pakej yang berharga RM138, pelanggan boleh mendapatkan rawatan termasuk sauna, jakuzi, mandi wap, urutan badan, snek dan minuman,’’ jelas Dina.

Dina berkata, selain pelanggan yang datang sendirian untuk rawatan, Spa D‘Aura turut menyediakan rawatan bagi pasangan suami isteri.

Beliau turut menawarkan kursus mengenai pengurusan dan rawatan spa kepada mereka yang berminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: