Saturday, November 6, 2010

Kesedihan Sarah Aqilah


LAGU Biar Hati Mencintaiku berkait dengan personal Sarah.


SUASANA santai dan mesra di Red Box Ria, Sogo, Kuala Lumpur masih lagi tidak mampu untuk pendatang baru seni suara dari Kota Singa itu melupakan kesedihan atas pemergian allahyarham adik perempuannya, Shaffadina yang ketika itu hanya berusia 20 tahun.

Ketika hendak menyanyikan lagu yang dijangka hit, Biar Hati Mencintaiku, lagu dan lirik oleh Aiman dan Zimi Sofaz, Sarah Aqilah tidak dapat menahan air mata daripada tumpah membasahi pipi.

“Adik penyokong kuat saya sejak dalam pertandingan Anugerah 2009 lagi. Dia insan yang bersungguh-sungguh melobi untuk saya sehingga saya menjuarai pertandingan tersebut.

“Dia tidak dapat hadir ketika saya menjuarai pertandingan tersebut. Namun, dia orang pertama yang ucapkan tahniah atas kemenangan saya melalui panggilan telefon.

“Lagu Biar Hati Mencintaiku khusus saya tujukan kepada adik. Adik beria-ia mahu mendengar lagu pertama yang saya rakam. Tetapi arwah tidak berkesempatan mendengar lagu ini kerana meninggal dunia tahun lalu. “Hanya beberapa minggu selepas lagu ini tamat rakaman,” kata Sarah menahan sebak.

Dalam nada sayu, Sarah menambah, semangat Allahyarham dan hajat yang tidak dapat dipenuhi membuatkan saya menjadi sebak setiap kali menyanyikan lagu Biar Hati Mencintaiku.

Pada majlis pelancaran album sulung Sarah Aqilah yang ringkas tetapi penuh bermakna itu. Penyerahan album berjudul Sarah Aqilah daripada Pengurus Besar Suria Record (SRC) Edwin Tan kepada Sarah dilakukan sebagai simbolik bermula edaran album tersebut di Malaysia.

Sarah juga turut menyanyikan lagu Ku Ingin Kamu ciptaan Sharon Paul. Lagu berentak balada itu yang menceritakan keinginan seorang kekasih untuk mendampingi pasangannya walaupun sehingga akhir hayat.

Menariknya, Ku Ingin Kamu telah dijadikan runut bunyi drama Buih-Buih Cinta.

Walaupun rentak balada sudah menjadi makanan ruji Sarah sejak di pertandingan Anugerah lagi. Itu bukan alasan untuk tidak menjadi versatil. Jatuh Cinta, lagu ciptaan Pam Yuen dan Mohariz Yakup jelas berjaya memancarkan personaliti Sarah yang ceria. Lagu berentak rancak itu, kelainan yang mampu disampaikan oleh Sarah dengan baik.

Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa gadis dari Toah Payoh, Singapura ini seorang yang lasak. Sarah pernah mewakili Singapura dalam pertandingan Bola Sepak Wanita dan menjadi sukarelawan sepenuh masa dalam angkatan tentera Singapura.

“Pengalaman selama tiga tahun setengah di dalam tentera yang tidak dapat Sarah lupakan, bermalam di hutan. Ketika itu, Sarah sentiasa berjaga-jaga umpama persediaan untuk berperang dengan musuh. Sarah juga pernah menggunakan M16, bayangkan ukuran panjang M16 itu setinggi Sarah,” seloroh Sarah lagi.

Siapa sangka, Sarah juga mempunyai bakat dalam bidang lakonan. Antara drama yang pernah dibintangi di Singapura ialah Projek Cerpen-Impian Gadis Jeans dan Cinta Izora.

Ketika ditebak persoalan minat sama ada lakonan atau nyanyian lebih diutamakan, Sarah berkata, dia belum puas lagi dengan dunia nyanyian. Pasti tumpuan lebih ke arah itu, lakonan pula rezeki daripada Tuhan yang tidak baik kita menolak.

Sarah seorang yang bertuah kerana sejurus menjuarai Anugerah dia disambar untuk menerbitkan album. Dengan imej dan lagu yang telah dirangka oleh Suria Record, semestinya ia suatu pertaruhan besar.

Album Sarah yang sudah berada di pasaran Malaysia pada 24 Mei lalu telah dilancarkan di Singapura pada 16 Jun lalu di Furama Riverfront.

Sambutan yang hangat di sana membolehkan album Sarah menjadi album Melayu Singapura pertama yang dijual di kedai-kedai Muzik HMV dan Gramophone. Umum mengetahui HMV dan Gramophone hanya menjual album daripada penyanyi-penyanyi antarabangsa sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: