Thursday, November 18, 2010

Kelazatan dari India Utara


IKAN salmon masak tandoori resipi unik Chef Raja.


HIASAN corak lantai iaitu 'kolam' menggunakan beras berwarna-warni menyambut pengunjung Terazza Brasserie. Di restoran tingkat bawah Hotel Grand Dorsett Kuala Lumpur itu, aroma rempah promosi masakan India Utara menggoda kunjungan.

Mungkin bagi yang datang buat kali pertama, mereka akan tertanya-tanya apakah keistimewaannya.

"Kebiasaannya, masakan India yang mudah diperolehi di Malaysia adalah masakan yang berasal dari wilayah selatan negara itu. Ini disebabkan masakan India Utara menggunakan bahan yang lebih mahal seperti krim, keju, minyak sapi atau minyak zaitun.

"Atas sebab itulah kami memilih untuk menawarkan makanan India Utara sepanjang bulan Pesta Cahaya ini," kata Chef Rajadurai Muthusamy, 51.

Beliau percaya masakan India Utara di Terazza Brasserie pasti menjadi pilihan penggemar makanan kerana cara penyediaan yang teliti dan menggunakan resipi khas dari India sendiri.

Rajadurai yang mesra dengan panggilan Chef Raja komited menyediakan kira-kira 60 jenis masakan India Utara di samping makanan Barat untuk menyeimbangkan pilihan pengunjung.


MARSALA ayam berkrim dengan kentang.


"Semuanya terdiri daripada lebih 100 pilihan. Setiap hari sebanyak 14 menu utama dengan 20 menu sampingan, pencuci mulut dan pembuka selera disediakan oleh kumpulan kami," kata beliau yang dibantu dua orang chef lain.

Selain nasi, Terazza Brasserie turut menyediakan pelbagai jenis roti naan seperti naan kashmiri, naan maharaja, naan kima, naan jira, naan keju di samping roti capati, roti paratha dan lain-lain.

Menjelaskan secara lanjut tentang perbezaan masakan makanan India Utara dan Selatan, Chef Raja berkata, kedua-dua masakan India itu berbeza dari segi penggunaan beberapa bahan walaupun kedua-duanya kaya dengan bahan rempah ratus yang sama.

Menurut beliau, jika penggunaan krim, keju, minyak sapi, minyak zaitun dan rempah campuran garam masala didapati dalam hampir semua masakan India Utara, masakan India Selatan pula kaya dengan penggunaan santan, daun kari, minyak kelapa dan serbuk cili pedas yang menjadi keutamaan masakan.

"Secara relatif, masakan India Utara lebih sederhana pedas dan berkrim. Mereka kurang menggunakan nasi sebagai makanan utama kerana roti seperti naan, puree, capati dan paratha menjadi pilihan.


KAMBING Rogan Josh enak berempah.


"Masakan di India Selatan yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji dan menu sampingan juga berasaskan nasi seperti tose, idli, uthappam dan sebagainya," jelas Chef Raja.

Terazza Brasserie di Grand Dorsett menawarkan bufet makanan pelbagai pilihan dengan harga hanya RM85 pada hari Ahad hingga Khamis dan RM95 pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu.

Antara masakan pilihan Chef Raja sendiri ialah seperti tandoori ayam, beriani makanan laut, kambing Rogan Josh, udang jingga, tamata ka shorba, sup mullugatawany, ayam marsala, kari ikan gaya Goa dan ayam goreng India.

Bagai manisan pula, Terazza Brasserie menyediakan kesari, gulab jamun, halwa, palkova, puding dan lain-lain.

Makanan bufet India Utara di Terazza Brasserie boleh didapati sepanjang bulan November bermula pada pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam. Untuk tempahan awal, pengunjung boleh menghubungi talian 03-5031 6060.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: