Thursday, November 18, 2010

Penyedut hampagas Lautan Pasifik


ELECTROLUX AB menghasilkan penyedut hampagas eco itu untuk menimbulkan kesedaran orang ramai.


TERSINGKAP seribu cerita menarik di sebalik, plastik biru, hijau dan putih yang melindungi permukaan penyedut hampagas Lautan Pasifik.

Ia merupakan cebisan plastik yang sangat kecil dan dikutip daripada salah satu pantai paling kotor di Hawaii, Amerika Syarikat iaitu Kahuku. Setiap hari, pantai Kahuku sering kali dibanjiri sampah sarap yang dibuai ombak dari Lautan Pasifik.

Peranti elektronik yang dibangunkan Electrolux AB itu dapat berfungsi dengan baik, malah berupaya menyedut kotoran daripada permaidani seperti penyedut hampagas lain di pasaran.

Bagaimanapun, syarikat Sweden itu menyatakan, pembangunan peranti berkenaan dilakukan untuk membangkitkan provokasi dan menjadi perbualan tentang lambakan sampah plastik yang mencemarkan lautan dunia.

Selain daripada penyedut hampagas berkenaan, syarikat yang berpangkalan di Stockholm itu turut membangunkan empat lagi penyedut hampagas diperbuat daripada sampah plastik yang diperoleh di Lautan Hindi, Mediterranean, Utara dan Baltik.

Kelima-lima penyedut hampagas berkenaan bukan untuk jualan komersial.

Naib Presiden Ketahanan dan Hal Ehwal Alam Electrolux, Cecilia Nord berkata, terdapat banyak kumpulan yang melakukan usaha terbaik dalam membersihkan lautan dan pantai-pantai dicemari plastik.


BOTOL plastik ini mengambil masa ribuan tahun untuk diuraikan.


Begitupun, masalah berkenaan terus berkembang kerana penggunaan plastik masih diamalkan orang ramai tanpa mengitar semula, katanya.

“Kami sebagai antara pengeluar terbesar dengan satu jangkauan global boleh memulakan perdebatan dan semoga dapat menyumbang dalam mengemukakan punca masalah tersebut,” kata Nord.

Electrolux menerima plastik Lautan Pasifik daripada satu kumpulan sukarelawan berpangkalan di Hawaii yang membersihkan pantai Kahuku sekali seminggu.

Pinggir pantai berkenaan merupakan kawasan paling kotor disebabkan aliran arus cenderung membuai sampah sampah di pulau itu.

“Kami boleh berada di sana pada bila-bila masa dan melihat ia mencemari pantai melalui setiap pukulan ombak,” kata Presiden dan Pengasas Bersama Kempen Kesedaran Alam Sekitar Pantai Hawaii, Suzanne Frazer.

Sampah sarap mudah berkumpul berdekatan pantai Kahuku kerana ia terletak di belakang dua hartanah persendirian.

Bahan buangan plastik mudah menjadi kepingan-kepingan kecil tetapi ia tidak akan musnah sepenuhnya. Satu kawasan di antara Hawaii dan California terdapat kawasan sampah sarap sebesar Texas digelar Pasifik Besar Tampung Sampah Sarap.


SYARIKAT Sweden, Electrolux AB membangunkan penyedut hampagas daripada sampah plastik yang terdapat di beberapa pantai seluruh dunia.


Baru-baru ini, para penyelidik mendapati terdapat gir (tempat sampah berkumpul) di Lautan Atlantik antara Pulau-pulau Bermuda dan Azores, Portugal.

Kebanyakan burung laut akan memakan cebisan-cebisan plastik yang terdapat di lautan terutamanya yang berwarna merah atau jingga kerana menyangka ia adalah sotong, telur ikan dan makanan lain.

Penyedut hampagas Pasifik Electrolux hanya mempunyai beberapa kepingan plastik berwarna merah atau jingga kerana binatang-binatang marin telah memakan kebanyakan daripada sampah plastik berkenaan sebelum ia dibawa ke pantai.

Penyelaras Program Serpihan Marin di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan, Carey Morishige berkata, orang ramai sepatutnya mengurangkan penggunaan plastik. Mereka juga perlu mengitar semula apa yang digunakan sebelum ini.

“Jika sampah sarap ini masih memasuki pesisir pantai, kami masih perlu membersihkannya,” kata Morishige.

“Jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut adalah menghentikan kemasukan sampah sarap ini ke dalam lautan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: