Thursday, November 18, 2010

Dunia gajet fotografi FIF


PELBAGAI jenis kamera digital ditawarkan dalam FIF.


SEDAR atau tidak, fenomena fotografi bukan sahaja melanda kumpulan jurugambar profesional, malah ia sudah berleluasa dalam kalangan generasi muda yang baru bertatih dalam bidang itu. Kegilaan terhadap bidang fotografi dilihat semakin ketara sejak kemunculan kamera kompak digital dan terbaru kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) yang ditawarkan di pasaran secara berleluasa.

Ternyata kehadiran kamera DSLR memberi impak positif sekali gus mendorong orang ramai melibatkan diri dalam dunia fotografi tanpa batasan.

"Gaya hidup moden dan urban pada hari ini memperlihatkan situasi yang cukup menarik. Orang ramai kini tidak hanya obses pada kecanggihan telefon bimbit tetapi pada masa yang sama kamera digital.

"Kamera DSLR menawarkan pelbagai aplikasi yang menarik dan memudahkan pengguna melihat terus koleksi foto yang dirakamkan. Selain itu, pengguna juga berpeluang menentukan bacaan cahaya yang diingini mengikut kesesuaian tempat dan masa," jelas Pengarah Urusan, Futuromic Photo AV Sdn. Bhd., Francis Lai, ketika ditemui Kosmo! pada majlis perasmian Pameran Futuromic Imaging 2010 (FIF), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Francis, industri fotografi menjadi lebih menarik apabila kumpulan remaja memasang impian untuk bergelar jurugambar profesional atau menjadikan fotografi sebagai kerja sampingan.

Memahami kehendak pengguna yang dilihat semakin cerewet memilih jenis kamera dan peralatan kamera maka Futuromic yang sudah beroperasi hampir dua dekad sentiasa berusaha menawarkan kamera, lensa, flash dan aksesori kamera yang berkualiti.


BARISAN model menggayakan produk yang dipamerkan di FIF.


Antaranya jenama yang terdapat di Futuromic ialah Aphafoto, Orkio, Pentax, Nikon, Ricoh, Sandisk, Tamron dan Velbon.

Atas faktor tersebut ruang legar pusat beli-belah Berjaya Times Square menjadi lokasi pilihan untuk FIF. Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu tidak hanya tertumpu kepada penjualan kamera, malah bengkel fotografi bersama jurugambar jemputan turut diadakan.

Sementara itu, Pengarah Jualan Futuromic Photo AV Sdn. Bhd., Jeffery Ng, menjelaskan setiap tahun Futuromic akan mengadakan pameran fotografi seumpama itu. Objektif utama pameran tersebut adalah untuk memberi peluang kepada jurugambar tempatan sama ada amatur atau profesional melihat kecanggihan sesebuah kamera dengan lebih dekat.

Lebih menarik inisiatif Futuromic bukan setakat pada penganjuran pameran saja. Terbaru, mereka melancarkan Giving Frames Photography Grand Project yang cenderung pada tanggungjawab sosial menerusi fotografi.

Projek yang terbuka kepada kumpulan jurugambar tempatan berumur 18 tahun ke atas itu, memerlukan para peserta menghantar kertas kerja yang bersesuaian dengan tema projek, Inspire and Influence Others to a Worthy Social Cause Through Photography.

Keterangan lanjut mengenai Giving Frames Photography Grand Project, orang ramai boleh melayari laman web www.futuromic.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: