Monday, November 8, 2010

Kekal dominasi populariti anak muda


SENGIT. Muzik-Muzik Ke-25 menampilkan lima orang juri profesional bagi memilih 12 lagu yang layak ke final daripada 30 lagu yang bertanding.


FAKTOR populariti sesebuah lagu dan sama ada ia memenuhi cita rasa pendengar menjadi kunci kepada pemilihan lagu-lagu yang dicalonkan dalam pertandingan separuh akhir Muzik Muzik Ke-25.

Program kegemaran ramai tersebut bakal menyaksikan persaingan sengit 30 buah lagu yang terpilih untuk bertanding dalam saingan bermula hari ini, 8 November.

“Kesemua 30 buah lagu yang akan bertanding adalah 100 peratus dipilih melalui undian yang dibuat oleh pendengar dan kekerapan lagu tersebut diputarkan terutamanya melalui enam saluran radio popular tempatan.

“Lagu-lagu yang terpilih bukan sahaja dinilai daripada segi kualiti kerana apa yang lebih ditekankan adalah lagu tersebut harus mesra pendengar dan sudah dikenali ramai,” ujar penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad.

Menurut Shaifullizam, biarpun ada pembaharuan dibuat, program Muzik Muzik yang sudah memasuki tahun Ke-25 tetap mengikut perkembangan industri muzik semasa untuk memberi pengiktirafan kepada komposer, penulis lirik dan penggubah lagu.

Ujarnya, meskipun format pertandingan pada tahun ini masih lagi kekal dengan tiada kategori genre, namun ia tetap mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada pemuzik-pemuzik tempatan.

Sementara itu, bagi saingan separuh akhir yang diadakan selama tiga minggu berturut-turut, lima orang juri profesional yang sememangnya aktif dalam industri muzik tempatan dipilih sebagai juri.

“Untuk minggu pertama dan kedua, sebanyak 12 buah lagu yang dipersembahkan, manakala hanya enam buah lagu sahaja yang dipersembahkan pada minggu yang ketiga.

“Ini kerana kesemua 12 buah lagu yang akan layak ke peringkat final akan diumumkan pada minggu terakhir. Kesemua penyanyi yang telah membuat persembahan pada minggu-minggu sebelumnya perlu hadir untuk mengetahui keputusan,” ujarnya.

Pertandingan separuh akhir diadakan di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dan mengekalkan gandingan pengacara yang sama iaitu Cheryl Samad dan Faizal Ismail.

Faizal harap layak ke final

Faizal Tahir yang turut bertanding meluahkan rasa syukurnya apabila ketiga-tiga buah lagu nyanyian serta ciptaan bersama Audi Mok layak memasuki gerbang separuh akhir.

Luah Faizal, ini merupakan satu pencapaian terbaik buat dirinya dan ia akan menjadi satu impian yang terlaksana sekiranya ketiga-tiga lagunya itu dapat memasuki peringkat akhir.

“Saya sedar persaingan kali ini cukup sengit kerana lagu-lagu yang bertanding hebat-hebat. Tidak mustahil juga kalau ketiga-tiga lagu saya itu gagal mara ke peringkat akhir.

“Menyentuh aspek lagu pula, saya tetap memberi fokus kepada ketiga-tiganya kerana setiap lagu saya itu mempunyai kekuatan yang tersendiri dan memberikan persembahan yang terbaik,” ujarnya yang muncul di tempat ke-3 menerusi lagu Becinta pada pertandingan lalu.

Seorang lagi penyanyi yang baru kali pertama bertanding di Muzik Muzik, Ana Raffali berkata, dia tidak menyangka dua buah lagu nyanyian dan ciptaannya layak ke peringkat separuh akhir.

“Sebelum ini saya hanya menonton rancangan Muzik Muzik di rumah bersama keluarga. Kini, dapat bertanding dalam saingan separuh akhir pastinya satu kebanggaan dan bertekad untuk tampil dengan persembahan yang istimewa,” ujarnya.

Pada saingan tersebut, Anna Rafali yang mempertandingkan lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur dan Tolong Ingatkan Aku akan terus mengekalkan gubahan muzik asal tanpa melakukan sebarang perubahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: