Monday, November 8, 2010

Enggan seksi depan media




CERITA kontroversi cukup dekat dengan penyanyi Farah Asyikin. Sejak bercerai hingga kini, dia antara penyanyi yang tidak pernah kering dengan cerita panas.

Kalau dibuka semula sejarah kemunculannya dalam persada seni suara, cerita kontroversi penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu lebih luas liputannya daripada kisah kerjaya seninya sebagai penyanyi.

Selepas bercerai Farah tidak pernah sunyi daripada gosip cinta termasuk hubungan cintanya dengan duda warga Singapura yang menjadi cerita panas kerana kononnya Farah merupakan punca keretakan rumah tangga kekasihnya itu.

Tidak habis di situ, baru-baru ini Farah mengumumkan ikatan pertunangan yang terjalin antaranya bersama kekasihnya itu terputus di tengah jalan.

Kini, tegas Farah, 31, dia hanya mahu fokus dalam kerjayanya sahaja.


FARAH menegaskan dirinya berhak menggayakan apa jua jenis pakaian dalam rutin kehidupan di luar kerjaya seninya.


"Saya masih solo, tiada hubungan dengan mana-mana lelaki. Sekarang, fokus saya hanya kerja bukannya untuk mencari kekasih," ucapnya yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Itu baru kisah yang membabitkan hati dan perasaan. Kalau menyentuh bab imej, sememangnya Farah seorang wanita yang seksi dan gemar berpakaian ketat.

Pernah dikecam kerana isu kainnya terselak sehingga ke pangkal paha ketika menjayakan persembahan pada majlis Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu dan dia juga pernah mengumumkan untuk menukar imej diri dengan kerap menyarungkan baju kurung pada persembahan pentas sekitar Mei lalu, namun Farah kini dilihat semakin melupakan pendiriannya itu.

Jawabnya: "Dulu ketika semua orang kecoh tentang pakaian saya yang seksi dan terdedah ketika buat persembahan saya akui agak fobia serta tertekan dengan situasi itu sebab ibu bapa saya turut terkena tempiasnya.


MENGAKUI dirinya pernah fobia dan tertekan gara-gara insiden kain terselak ketika membuat persembahan secara langsung.


"Sebenarnya sebagai penyanyi ada waktunya saya tidak mahu berpakaian seksi tetapi diminta mengenakan pakaian tersebut. Jadi, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati saya pakai baju kurang tidak kira di mana-mana termasuk ketika melakukan persembahan pentas.

"Ini kerana saya tidak mahu diperlekehkan oleh mana-mana pihak, saya mahu mereka tahu yang saya ada pendirian dan boleh berkata tidak jika saya tidak mahu menyarungkan pakaian yang saya rasa tidak selesa," ujarnya yang akan ke Beijing, China bersama peminat pada hujung bulan ini.

Terang Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, meskipun kerap tampil dengan baju kurung, itu tidak bermakna dia hanya akan berbaju kurung selamanya. Sebaliknya dia akan menyarungkan pakaian lain seperti gaun dan pakaian kasual yang sopan mengikut kehendaknya.

"Saya tidak kata akan berbaju kurung sahaja, pendirian saya adalah tidak mahu lagi berpakaian seksi di hadapan media. Saya bimbang perkara yang sama (kain terselak) berulang kembali kerana saya tidak tahu di mana sudut-sudut yang diambil oleh jurufoto," tuturnya.

Namun, jika di luar daripada waktu kerja, kata Farah, dia bebas menyarungkan sebarang pakaian mengikut hatinya.


FARAH berasa bertuah ditawarkan untuk menulis lagu untuk Shamrin.


"Saya wanita yang normal, kalau bab baju kurung itu rasanya semua wanita Melayu mempunyai sekurang-kurangnya sehelai baju kurung dalam almari mereka.

"Sama juga seperti saya, kalau mood saya mahu pakai baju kurung, saya akan pakai. Kalau tidak, saya akan ikut hati saya sahaja. Jika orang nak kata saya hipokrit kerana berpakaian sopan hanya di depan media, itu adalah pilihan saya kerana yang menanggung segala kecaman itu adalah saya dan keluarga, bukannya orang lain," balasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: