Saturday, November 6, 2010

Bersantai di pantai Mersing




SESEKALI lari daripada kesibukan kota dengan menikmati percutian bersama keluarga sambil ditemani deruan ombak pasti menyeronokkan.

Kepada anda yang tercari-cari lokasi untuk bercuti, pantai-pantai yang terdapat di Mukim Penyabong mungkin boleh dijadikan pilihan.

Mukim Penyabong misalnya, memiliki banyak pantai menarik yang menghadap ke Laut China Selatan.

Selain Pantai Penyabong, terdapat beberapa pantai lain yang turut menjadi tumpuan pengunjung terutama pada hujung minggu. Antaranya Pantai Pasir Lanun, Pantai Teluk Gorek, Pantai Tanjung Resang dan Pantai Teluk Sari.

Kesemua lokasi peranginan berkenaan terletak di antara 30 hingga 50 kilometer (km) dari bandar Mersing dan memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar tersebut.

Jika merancang untuk menginap, kemudahan calet pada kadar yang berpatutan ditawarkan kepada pengunjung. Antara calet yang terdapat di kawasan tersebut termasuklah Endau Beach Resort, Coconut Beach Resort dan Pantai Penyabong Resort (PPRT).

Calet Naza Impian, Teluk Sisek dan Teluk Gorek Camp and Resort juga bersedia menerima kunjungan tetamu pada bila-bila masa.

Selain bermalam di calet, pengunjung mempunyai pilihan sama ada mendirikan khemah secara individu mahupun berkumpulan di tapak-tapak perkhemahan yang lengkap dengan kemudahan bilik mandi, tandas dan parkir.

Suasana pantai yang nyaman dengan deruan ombaknya yang mendamaikan menggamit memori pengunjung yang pernah ke Pantai Penyabong.

Ketua Kampung Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh, 47, berkata, pembangunan pesat industri pelancongan di Mukim Penyabong memberi limpahan rezeki kepada penduduknya.

Di kawasan tersebut katanya, terdapat sebuah Pusat Perahu Layar di Tanjung Resang dan Pusat Penyelidikan Marin milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dalam pembinaan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan ke Mersing khususnya di Penyabong.

“Pantai-pantai yang terdapat di sini sangat cantik. Keindahannya mampu mereda tekanan kerja. Kebelakangan ini, jumlah pengunjung semakin bertambah dari hari ke hari terutama pada cuti umum.

“Penyabong juga menawarkan pemandangan indah kerana ia menghadap beberapa buah pulau lain seperti Pulau Semut, Pulau Aceh dan Seri Buat dan jika cuaca baik anda dapat melihat Pulau Tioman,” ujarnya.


JIKA cuaca baik, Pulau Tioman dapat dilihat dari beberapa pulau yang terdapat di Mukim Penyabong.


Pengunjung terpaut pada keindahan

Selain itu, Wan Azman berkata, pengunjung boleh menaiki bot yang disediakan oleh pengusaha calet untuk ke pulau tersebut. Kepada kaki pancing, mereka boleh mencuba nasib memancing ikan di sebuah kelong yang disediakan.

Antara spesies ikan yang terdapat di kelong tersebut termasuklah ikan kerapu, ebek, jemuduk, dan jenohong.

Pada hujung minggu, Pantai Penyabong sesak dengan orang ramai dan kaki pancing terutamanya dari Singapura.

Tinjauan Kosmo! Ke Pantai Pasir Lanun dan Tanjung Resang pada cuti hujung minggu baru-baru ini mendapati, kebanyakan pengunjung datang secara berkumpulan dan keluarga menghabiskan masa dengan berkayak, bermain bola tampar pantai dan aktiviti laut.

Rata-rata pengunjung yang ditemui melahirkan rasa seronok dan berpuas hati dengan keindahan, suasana dan kemudahan yang terdapat di pantai tersebut.

Bagi Abdul Haris Rahmat, 26, keunikan pantai tersebut menyebabkan pusat peranginan tersebut sentiasa dikunjungi oleh pengunjung tempatan mahupun negara jiran.


CALET yang sesuai untuk percutian sekeluarga.


Seorang pengunjung dari Pekan Endau, Nur Hazirah Hazlan, 12, berkata, dia dan keluarganya sering ke pantai tersebut pada cuti umum dan musim cuti sekolah.

Kata anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, dia tidak mahu melepaskan peluang bersantai dan mandi laut bersama keluarga,” katanya.

Tambah Nur Hazirah, jika berkesempatan, mereka sekeluarga berkelah di pantai di sekitar Mersing terutama di Pantai Teluk Gorek dan Tanjung Resang.

Menurut anak renjer hutan yang mengikut bapanya berpindah ke Endau enam tahun lalu, dia telah beberapa kali berkunjung ke pantai-pantai yang terdapat di Penyabong bersama keluarganya terutama pada cuti umum dan hujung minggu untuk berkelah.

Pantai landai

Terbaru, dia menyertai aktiviti perkhemahan yang dianjurkan pihak sekolahnya di Pantai Tanjung Resang.

“Walaupun sebelum ini kami agak asing dengan pantai, tetapi sekarang di sinilah tempat kami sekeluarga menghilangkan tekanan sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa,” katanya.

Seorang pengunjung dari Pekan Kahang, Kluang, Mohd. Nor Shukri Mad. Ali, 24, memberitahu, kawasan pantai berkenaan tidak berbahaya kepada pengunjung terutama kanak-kanak kerana pantainya landai.

“Pantainya bersih dan masih terpelihara kerana ia jauh dari pekan,” katanya bahawa kawasan Teluk Gorek yang dipenuhi pokok-pokok besar menjadikan persekitaran tersebut terasa nyaman dan redup.

“Pada kadar sewa RM100 sehari, kemudahan calet yang disediakan juga berpatutan,” katanya.

Rakannya, Norainiza Ramli, 23, berkata, dia telah datang ke situ sebanyak tiga kali kerana tertarik dengan keindahan Pantai Teluk Gorek. Bahkan, pengusaha calet di Teluk Gorek Camp Site & Resort itu juga membenarkan pengunjung mendirikan khemah di kawasan yang disediakan.

Beliau menyarankan agar pihak yang berkenaan menambah kemudahan seperti lampu jalan, menyediakan permainan jet ski dan motosikal pantai.

Aishah Rahman, 40, pula memberitahu, kekerapan beliau berkunjung ke Pantai Pasir Lanun dan Penyabong adalah untuk meredakan kepenatan dan tekanan kerja.

“Biasanya saya dan keluarga datang untuk bersiar-siar selain membawa anak-anak bermain air laut,” kata pembantu prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Lipat, Endau itu.


PEMANDANGAN menarik dari jeti Penyabong.


Seorang pengusaha calet, Rahmat Awang, 55, berkata, caletnya sentiasa penuh pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah.

“Pengunjung yang berminat untuk bermalam perlu membuat tempahan awal kerana dikhuatiri calet habis ditempah,” ujarnya.

Beliau berkata, selain tempahan individu, chaletnya turut mendapat tempahan daripada agensi-agensi tertentu yang ingin menganjurkan aktiviti di pantai berkenaan.

“Selain pemandangan pulau dan laut yang cantik sebagai pemandangan, caletnya saya turut menawarkan pakej menarik untuk para pengunjung,” katanya.

2 comments:

  1. kampung ku yang indah dan nyaman

    ReplyDelete
  2. rasa macam nak pi situ cuti sekolah ni..bestnyer

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: