Thursday, November 4, 2010

Kasyfi Haiqal penyeri hidup Diana Rafar



Pelakon Diana Rafar selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.99 kilogram. Bayi seberat 2.99 kilogram itu dilahirkan di Pusat Perubatan Darul Ehsan pada 29 Oktober lalu.

Memilih nama Kasyfi Haiqal, Diana ternyata gembira kerana dapat melahirkan bayinya secara normal.

Bercerita mengenai nama anaknya itu, Diana berkata, nama itu dipilih dua hari sebelum dia bersalin.

“Nama tu Zamarul yang beri. Dia dapat selepas buat solat istikharah. Katanya nak tukar nama kepada Kasyfi yang bermaksud pembuka pintu hati.

“Saya pula tak kisah kerana saya tahu Zamarul akan buat yang terbaik untuk kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Bercerita mengenai detik-detik bersalin, Diana akui tidak mengalami sebarang kesakitan. Walaupun air ketubannya pecah sehari sebelum bersalin, dia masih boleh melakukan kerja-kerja hariannya seperti biasa.

“Air ketuban saya pecah, tapi masa tu memang tak sakit langsung. Cuma selepas saya beritahu pada Zamarul, dia terus bawa saya ke hospital kerana risau keadaan saya.

“Selepas diperiksa, doktor beritahu sudah sampai masanya untuk saya bersalin, tetapi masa tu saya masih tak rasa sakit hingga doktor terpaksa beri saya ubat.

“Selepas sejam barulah saya terasa sakit. Alhamdulillah, selepas Zamarul pulang dari solat Jumaat, saya bersalin.

Namun di sebalik kegembiraan Diana, terpalit rasa sedih apabila bayinya terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi akibat lemas semasa di dalam kandungan.

“Saya sangat sedih dan sesekali menyalahkan diri kerana lewat ke hospital. Tapi, saya terima ia sebagai takdir. Saya dan Zamarul jadi lebih kuat untuk menjaga anak kami.

“Saya hanya mampu berdoa agar bayi saya akan cepat sembuh. Alhamdulillah, setelah lima hari, semalam (kelmarin) anak saya sudah boleh keluar wad dan bermulalah aktiviti berpantang,” katanya lagi.

Ditanya mengenai aktiviti seninya selepas ini, Diana akui rindu untuk berlakon namun kerana tanggungjawab menjaga anak dan rumah tangganya, Diana akan berehat untuk sementara waktu.

“Sebelum bersalin, saya ada menerima beberapa tawaran berlakon dan sudah memberi tarikh selepas berpantang untuk berlakon semula.

“Tetapi apabila dah ada anak, rasanya tawaran itu terpaksa saya tolak kerana mahu memberi perhatian terhadap anak dan suami.

“Lagi pula, berlakon ni hanya minat saya kerana sejak kecil lagi saya sudah mula berlakon. Selepas ini saya akan meneruskan perniagaan spa saya. Kalau ada masa barulah saya akan berlakon,” katanya yang popular dengan filem Susuk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: