Thursday, November 4, 2010

Republikan kuasai Dewan Perwakilan


GAMBAR menunjukkan Barack Obama di White House, Washington kelmarin menghubungi John Boehner bagi mengucapkan tahniah ekoran kemenangan Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan selepas keputusan awal pilihan raya diketahui.


WASHINGTON - Parti Republikan yang dianggotai bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush merampas semula penguasaan di Dewan Perwakilan daripada Parti Demokrat selepas keputusan pilihan raya diketahui semalam.

Bagaimanapun, parti Demokrat yang dianggotai Presiden AS, Barack Obama masih mengekalkan majoriti di Dewan Senat.

Dalam keputusan awal, parti Republikan menang 239 kerusi daripada 435 kerusi di Dewan Perwakilan manakala Parti Demokrat memperoleh 183 kerusi dengan 12 kerusi belum diketahui keputusan.

Kemenangan tersebut merupakan yang terbesar dalam tempoh sedekad dan mengatasi penguasaan Republikan dalam Dewan Perwakilan pada 1994 yang dikenali sebagai Revolusi Republikan ketika itu.

Ekoran kemenangan itu, pemimpin parti Republikan di Dewan Perwakilan yang dijangka dipilih menjadi Speaker, John Boehner berkata, partinya akan menjadikan agenda untuk mengurangkan perbelanjaan pentadbiran persekutuan pada persidangan Kongres AS tahun depan.

"Adalah jelas bahawa rakyat Amerika mahu kami untuk melakukan sesuatu dengan memotong perbelanjaan di sini dan membantu untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan kita mendapatkan semula pekerjaan," kata Boehner kepada pemberita.

Beliau akan menggantikan Nancy Pelosi dari Parti Demokrat untuk menjadi Speaker Dewan Perwakilan.

Speaker Dewan Perwakilan berada di tangga kedua untuk dicalonkan sebagai Presiden AS selepas Naib Presiden AS.

"Suara rakyat Amerika didengari menerusi kotak undi. Kami berharap Presiden Obama kini akan menghormati hasrat orang ramai, mengubah arah dan melakukan perubahan yang kami tuntut," kata Boehner.

Keputusan di Dewan Senat setakat awal semalam menunjukkan Parti Demokrat masih menguasai dengan memperoleh 51 kerusi manakala Parti Republikan mendapat 46 kerusi manakala dua kerusi milik anggota bebas.

Kerusi Dewan Senat di Alaska, Colorado dan Washington masih belum dikira.

Setiap negeri di AS akan diwakili dua senator di Dewan Senat.

Obama turut menghubungi Boehner bagi mengucapkan tahniah ekoran kemenangan itu selain berbincang untuk mencari jalan bagi menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memperbaiki ekonomi, kata seorang pembantu Boehner.


JOHN BOEHNER (kanan) dikerumuni pemberita pada satu sidang akhbar mengenai kemenangan Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan di Capitol Hill, Washington semalam.


Keputusan pilihan raya itu merupakan mesej yang paling kuat ditunjukkan oleh pengundi yang sama memilih Obama menjadi Presiden AS.

Obama mengangkat sumpah menjadi Presiden AS pada 20 Januari 2008.

Beliau pernah berjanji untuk mengatasi masalah ekonomi, meluaskan pelaksanaan insurans kesihatan dan menutup penjara Guantanamo milik AS di Cuba.

Namun, setakat ini Obama hanya berjaya melakukan perubahan kesihatan insurans yang diluluskan Kongres AS.

Mengikut sistem pilihan raya di AS, pilihan raya Dewan Perwakilan, pilihan raya Dewan Senat dan pilihan raya Gabenor di setiap negeri akan diadakan selepas pilihan raya Presiden.

Kali terakhir pilihan raya Presiden AS diadakan ialah pada 4 November 2008.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: