
Mengulas mengenai kontroversi hangat itu, Shaz berkata gambar tersebut diletakkan pada profil telefon BBM miliknya tanpa sebarang niat atau memberitahu tentang sesuatu hubungan istimewa.
Shaz berkata, dia tidak mengerti mengapa perkara kecil seperti itu perlu digembar-gemburkan.
“Saya mengakui mengambil gambar itu, tetapi antara saya dan Kak Maria memang tiada apa-apa hubungan. Saya rasa perkara itu tidak sepatutnya menjadi besar kerana ia sekadar gambar,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan kontroversi itu Shaz berkata, dia kini mengambil keputusan tidak mahu memberi sebarang komen mengenai kisah peribadinya kerana enggan dituduh mencari publisiti murahan.
“Saya kecewa kerana setiap kali cerita saya keluar di majalah atau dada akhbar, ia mesti berkaitan hal peribadi, terutamanya tentang percintaan sehingga keluarga juga sudah menegur.
“Jadi saya sudah mengambil keputusan untuk tidak lagi membicarakan tentang hal peribadi. Saya lebih rela orang melihat tulisan yang mengkritik hasil kerja atau lakonan saya, daripada mereka membaca cerita peribadi.
“Saya sedar ini adalah resam saya sebagai selebriti, tetapi saya rasa peminat pasti memahami dan setuju dengan saya,” katanya dalam nada kecewa.
Kata Shaz, buat masa ini fokus utamanya adalah pada kerjaya yang baru bertapak dan enggan memikirkan soal perkahwinan dan percintaan.
Semakin menyerlah menerusi drama Asmara
Menurut Shaz, dia menyertai industri seni bukan kerana mengejar glamor semata-mata, tetapi kerana minatnya yang mendalam terhadap seni. Malah dia sanggup melupakan niat untuk menjadi chef kerana kecintaannya terhadap bidang seni.
Drama Bionik dan Tari Tirana menjadi titik tolak pembabitan Shaz. Malah peranannya sebagai Asmara dalam drama bersiri Asmara meninggalkan kesan tersendiri, terutamanya buat penonton setia.
Shaz berkata, walaupun menerima respons cukup baik, dia mengakui lakonannya masih lagi tahap ‘biasa-biasa’ dan berharap dapat memperbaikinya dari masa ke masa.
“Saya bersyukur kerana menerima respons yang baik daripada penonton setia drama bersiri tersebut. Bagaimanapun ia bukan bermakna saya sudah cukup bagus. Masih banyak yang perlu saya pelajari.
“Jika ada masa terluang di lokasi, saya gemar bertanya tentang ilmu lakonan daripada pelakon senior. Maklumlah saya bukan pernah belajar berlakon atau sebagainya,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama 12 episod Telah Dihalalkan Epal Itu.
Menurut Shaz yang memenangi anugerah pakaian lelaki terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini, drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu berlandaskan al-Quran dan hadis yang akan disiarkan menerusi stesen televisyen baru, TV Al-Hijrah.
Selain itu, Shaz juga mengimpikan untuk membawa watak seperti orang cacat, gila dan aksi mencabar.
Dia berharap akan bergelar seniman dan dikenang sepanjang zaman, suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: