![]() |
| HISSS tidak lebih sekadar memperagakan keseksian Mallika Sherawat. |
SEBELUM anda beratur membeli tiket filem Hisss, mungkin anda mahu bertanya kepada diri sendiri - sanggupkah anda melihat Mallika Sherawat 'berasmara' dengan seekor ular?
Jika jawapannya ya, teruskan niat itu tetapi jangan mengadu jika anda mendapati adegan tersebut sangat mengarut, seperti mana keseluruhan filem ini.
Hisss mengisahkan legenda naagin, dewi ular yang kononnya membawa sejenis batu hikmat yang dipanggil nagmani. Mitos itu diceritakan di India sejak turun-temurun, kira-kira 4000 tahun lalu.
Seorang lelaki warga Amerika, George States (lakonan buruk Jeff Doucette) yang mempercayai kisah itu sanggup masuk ke ceruk hutan untuk mendapatkan batu geliga berkenaan.
George mengidap barah otak dan hanya mempunyai masa enam bulan untuk hidup. Justeru, dia sangat terdesak dan helahnya untuk memerangkap naagin ialah dengan menangkap pasangannya.
Lalu bermulalah pengembaraan naagin yang amat cantik dan seksi untuk mencari kekasihnya yang hilang. Tidak seperti duyung bernama Maya Karin, naagin tidak pandai bercakap dan sangat asing dengan ketamadunan manusia.
Dalam pengembaraannya itu, dia menghapuskan segala kejahatan melalui kuasa mistik dan racun berbisa. (Amaran: bersedialah untuk menyaksikan adegan Mallika memeluk dan memanjat tiang lampu yang bentuknya seakan-akan ular tedung ibarat melepas rindu).
Saya akui terpedaya dengan label Hollywood apabila mengetahui Hisss diarahkan Jennifer Lynch. Anak kepada pengarah hebat, David Lynch, bagaimanapun dia tidak mewarisi bakat bapanya. Meninjau kembali portfolio Jennifer, mungkin Hisss memang selayaknya terhasil sedemikian rupa.
Filem ini teruk dan menggelisahkan. Setiap aspek gagal menyerlah baik dari segi plot, dialog, lakonan mahupun imej janaan komputer (CGI). Mari bincangkan secara ringkas tanpa memberitahu kesudahan cerita, kalau-kalau anda masih berminat menyaksikannya.
Plotnya longgar dan penceritaan juga lemah. Banyak perkara yang menjadi persoalan dan dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Itu belum dikira soal logik.
Sebagai contoh, mengapa naagin mengejar si peniup seruling dan ingin menghapuskannya? Mengapa naagin membunuh secara rawak, seolah-olah mahu menjadi adi wira kepada wanita tertindas? Konco-konco George percaya kepada balasan dewi ular, tetapi kenapa masih bersekongkol dengan lelaki mat saleh yang tua dan lemah itu?
Dialog-dialog yang dipersembahkan tidak kuat, malah ada ketikanya menjadi kelakar secara tidak sengaja. Barangkali kerana saya menonton filem ini dalam versi Inggeris (di mana setiap watak dialih suara), lalu ia menjadi bertambah janggal. Beberapa adegan juga terasa seperti disjointed dan tidak selari.
Irrfan Khan tentu menyesal membintangi Hisss. Dianggap sebagai antara aktor India terbaik masa kini, resume-nya yang cemerlang dalam The Namesake (2006) dan Slumdog Millionaire (2008) telah dicemar.
Sayang sekali apabila kesungguhannya memainkan peranan detektif polis tidak dapat menyokong kecacatan persembahan pelakon lain dan keseluruhan filem.
Mallika pula melakukannya dengan sangat mudah. Sebagai naagin, dia tidak perlu menghafal sebarang dialog, kecuali menari dan membuat liuk lentuk ular dalam keadaan separa bogel.
Saya tidak nampak sebarang usaha yang dilakukan aktres berpengalaman ini melalui penghayatan atau ekspresi wajah. Dia hanya bersedia untuk kelihatan mempesona dan eksotik dalam balutan kain nipis atau kostum ular yang dicipta khas.
Jika semuanya tidak menjadi, saya sangkakan CGI filem ini boleh diharap sebagai penyelamat. Mungkin apa yang dilakukan Hisss kelihatan maju kepada industri sinema India, tetapi efeknya masih kelihatan murah dan cartoonish.
Imej transformasi ular kepada manusia belum cukup memberangsangkan, malah ada ketikanya lebih amatur daripada sesetengah grafik dalam permainan video. Dalam beberapa babak, ular yang dijadikan props nampak sangat ular getah!
Adakah kerana Jennifer tidak memahami bahasa Hindi atau Tamil, lalu pengarahannya menjadi serba serbi salah? Atau dia tertidur semasa menghasilkan filem ini? Kalau begitu, lebih sesuai menamakan filem ini sebagai Zzzz.
Janganlah cuba membandingkan Hisss dengan filem dewi ular yang lain seperti Nagin (1976) atau Nagina (1986). Meskipun kedua-dua filem klasik itu dipenuhi dengan lagu-lagu, tarian serta watak baik dan jahat yang stereotaip, rasanya ia lebih dihormati daripada Hisss yang mahu menjadi filem thriller moden, tetapi kecundang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: