Thursday, November 4, 2010

Aura Benson belum pudar


Benson bangga mendapat undangan meraikan golongan Diraja.


USIA tidak dijadikan halangan bagi pemenang sepuluh kali Anugerah Grammy, George Benson untuk memukau hampir 4,000 penonton yang memenuhi Arena Of Stars, Genting Highlands, malam Ahad lalu.

Pada usianya mencecah 67 tahun, Benson masih ligat bergelek mengikut ritma lagunya sekali gus mengundang jeritan penonton ketika konsertnya yang dinamakan George Benson Live At Resort World Genting itu.

Walaupun rata-rata hadirin yang memenuhi seisi dewan pada malam itu terdiri daripada mereka yang sebaya dengannya, konsert Benson pada malam itu masih lagi boleh dirasai kehangatannya waima diselubungi hawa dingin yang menusuk ke sumsum tulang.

Mendendangkan 13 buah lagu popularnya, Benson cukup bertenaga sehingga ke hujung persembahannya yang berlangsung lebih sejam itu.

Dibahagikan kepada dua segmen, pada konsert yang bermula pada jam 8 malam itu, enam buah lagu yang dinyanyikan pada segmen pertama ialah Love & Love, Nature Boy, In Your Eyes, Lady Love Me One More Time, Nothing's Gonna Change My Love For You dan Turn Your Love Around.

Bijak mengatur persembahan, Benson mengalih perhatian penonton dengan persembahan gitar solonya menerusi dua buah lagu iaitu Affirmation dan At The Mambo Inn sebagai transisi pembahagi untuk berganjak ke segmen keduanya.

Melangkah ke segmen keduanya, momentum dewan sedikit berubah apabila Benson tampil dengan lagu jazz berentak rancak.

Atmosferanya juga berubah. Walaupun kebanyakan penonton terdiri daripada warga emas, mereka tidak kekok untuk bangun bagi sama-sama bergelek dengan Raja Jazz itu hinggalah ke penghujung persembahannya.

Antara lagu yang didendangkan untuk segmen tersebut ialah Beyond The Sea, This Masquerade, Love Ballad, Give Me The Night, Greatest Love Of All, Never Give Up On A Good Thing dan On Broadway.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: