Tuesday, November 9, 2010

Heliza terima banyak tawaran ceramah

Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi, 24, yang sudah bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 11 Oktober lalu, kini mengorak langkah sebagai penceramah motivasi.

“Saya tidak sangka selepas tamat belajar, saya banyak menerima tawaran memberi ceramah di sekolah. Minggu lepas, saya baru sahaja menerima undangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah untuk memberi ceramah tentang pemakaian tudung dan imej Muslimah.

“Selepas ini, saya turut menerima jemputan memberikan ceramah di sebuah sekolah di Perak. Walaupun sibuk, saya tetap akan cuba memberikan sumbangan kepada pelajar, sekali gus dapat mempraktikkan bidang pendidikan yang saya pelajari sebelum ini,” kata graduan dalam bidang Pendidikan Sains, Biologi dan Kimia ini.

Jelas Heliza, setiap peluang diterima membuka minatnya untuk menjadi penceramah motivasi lebih serius pada masa akan datang.

Bagaimanapun, minatnya dalam bidang seni masih utuh, apatah lagi dia sudah memiliki produksi sendiri, Heliza Helmi Production (HHP) yang beroperasi awal tahun lalu.

“Bukan mudah untuk saya uruskan kedua-dua bidang ini pada satu masa sama. Apa pun, demi minat dan cinta saya yang mendalam menerusi bidang akademik dan seni, saya harus bijak membahagikan masa.

“Untuk bergelar sebagai penceramah berjaya, saya kena tambahkan lagi ilmu. Malah saya juga berhasrat sambung pengajian pada peringkat sarjana, Insya-Allah,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: