Tuesday, November 9, 2010

Buruh ditetak terima 100 jahitan

KOTA BHARU - Gara-gara menegur seorang pemuda yang menangkap ikan menggunakan elektrik, seorang lelaki menerima lebih 100 jahitan di kepala dan badan akibat ditetak di Kampung Bahagia, Cabang Empat, Tumpat, kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa yang cedera parah nekad menyelamatkan dirinya dan dalam keadaan kepala serta badannya berlumuran darah dia menggagahkan diri memandu keretanya sejauh 600 meter untuk pulang ke rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu mangsa, Mohammad Salleh, 52, parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tumpat oleh sepupunya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap berkata, mangsa yang bekerja buruh dikatakan ditetak lebih 15 kali oleh seorang pemuda dikenali Bujal.

Menurutnya, kejadian itu juga berlaku dipercayai berpunca daripada dendam lama suspek terhadap Mohammad.

“Hasil siasatan mendapati kesan tikaman di bahagian tepi badan sebelah pinggang kanan mangsa dan sebaik menerima laporan, polis menahan isteri pemuda terbabit berusia 17 tahun untuk siasatan.

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai kopi di kampung itu,” katanya, semalam.

Mangsa sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tumpat kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan susulan.

Akibat cedera parah di kepala, sekali lagi mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Sementara itu, anak mangsa Siti Hajariah, 21, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dikejutkan ibunya Faridah Musa, 49, kira-kira jam 11.15 malam.

“Ayah memberitahu dia ditetak dengan ‘kelewang’ ketika pulang selepas minum di sebuah kedai kopi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: