Tuesday, November 9, 2010

“Saya bukan pengkid”



Namanya mungkin kurang dikenali dalam arena seni tanah air, tetapi lakonan berkesan pada beberapa drama dibintanginya membuatkan kelibat gadis comel ini sentiasa dinanti.

Chomell Fana, begitulah sebaris nama secomel orangnya. Namun tika baru meniti membina nama dalam industri seni, nama Chomell terpalit kontroversi tatkala gambarnya yang menampilkan imej tomboi tersebar di internet.

Nyata, ketika dihubungi Sinar Harian mengenai perkara itu, Chomell terkejut, tetapi mengakui foto yang tersebar adalah gambar lamanya.

“Saya akui gambar itu adalah gambar saya. Saya sendiri yang masukkan gambar tersebut dalam Facebook, tetapi itu gambar tiga tahun lepas.

“Saya akui sebelum menyertai bidang seni, saya aktif dengan sukan seperti bola sepak dan menyebabkan saya memotong rambut pendek seperti lelaki. Kemudian selepas otot saya koyak, saya berhenti bersukan,” katanya yang kini bernaung di bawah KRU.

Katanya, dia mula menyertai bidang seni dari belakang tabir sebelum pengarah, Aziz M Osman mempelawanya berlakon dalam drama bersiri Comel.

"Sejak itu, saya mula menyimpan rambut atas nasihat dan permintaan pengarah serta penerbit,” katanya.

Oleh kerana imej lamanya tidak ubah seperti lelaki, maka tidak hairanlah ada suara sumbang yang mengaitkannya dengan isu pengkid. Bagaimanapun, Chomell menafikan perkara itu dan berharap, orang tidak akan menilai dirinya berdasarkan gambar lamanya.

“Saya akui seorang lasak, kasar dan gila-gila, tetapi itu tidak bermakna saya berjiwa songsang. Lagipun saya kenal siapa diri saya. Cuma saya berharap orang di luar sana tidak sewenang-wenangnya membuat andaian mereka sendiri.

“Saya berambut pendek kerana saya aktif dengan sukan dan berasakan rambut panjang tidak sesuai dengan jiwa saya. Bagaimanapun, selepas saya menyertai industri seni dan menyimpan rambut panjang, saya rasa sayang mahu memendekkannya," katanya.

Kata Chomell, apa yang pasti, dia bukan berjiwa songsang dan walaupun rambutnya panjang, dia masih meminati sukan.

Dia yang kini terlibat dengan perlawanan pool remaja berkata, tidak bertindik di dagu seperti didakwa.

"Saya hanya melekatkan subang di dagu kerana pada ketika itu memang terkenal dengan fesyen bertindik di dagu. Sebagai remaja, saya teringin mengikuti gaya semasa," katanya.

Chomell berkata, dia berharap masyarakat sekeliling memberinya peluang membina nama dalam industri.

Dia juga berharap peminat melihat bakat yang ada dalam dirinya dan tidak menggembar-gemburkan perkara remeh seperti itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: