AKSESORI yang berwarna-warni dan berkilauan menjadi pilihan utama gadis berketurunan India untuk digayakan bersama sepasang sari terutamanya ketika menyambut hari penting seperti Deepavali.
Menariknya wanita India tidak akan memakai gelang tangan dalam kuantiti yang sedikit. Jumlah gelang yang menghiasi tangan kebiasaannya mencecah hingga ke paras siku.
Namun, itulah identiti wanita India yang terkenal dengan pesona tradisionalnya terutama ketika menghadiri majlis persandingan mahupun sambutan Deepavali.
Lantaran itulah, permintaan terhadap gelang tangan pelbagai corak dan warna sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama menjelang sambutan perayaan Deepavali atau perayaan cahaya yang akan diraikan beberapa hari sahaja lagi.
Menyedari trend tersebut, pemilik Hemiz Collection, Hema Vijay Suntharan, akan terbang ke Mumbai, India untuk memastikan koleksi aksesori yang dijual di kedainya mampu menepati cita rasa penduduk di Malaysia.
"Saya lebih senang ke Mumbai sendiri dan lihat corak atau jenis gelang yang ingin dijual. Biasanya saya akan pilih trend terbaru di sana.
|
|
"Tetapi kebiasaannya gelang tangan yang saya jual bukannya menjadi pilihan kaum India sahaja. Malah, corak yang lebih ringkas turut menarik perhatian kaum lain terutama wanita Melayu," katanya.
Gelang tangan berbentuk tebal biasanya ia digayakan dua urat sekali gus atau diselang seli dengan beberapa urat gelang nipis.
"Pelanggan boleh mendapat kira-kira 20 urat gelang yang nipis dan tebal pada harga di antara RM39.90 hingga RM69.90," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: