Monday, November 1, 2010

Versatil fabrik batik


LUKISAN batik di atas fabrik sutera dan kapas.


MENGUNJUNGI Promosi Kraf Tekstil 2010 yang berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaikan berada di syurga batik.

Barisan tapak gerai yang memenuhi kiri dan kanan ruang pameran sarat dengan gantungan fabrik batik yang dihasilkan dalam pelbagai warna, corak dan motif.

Koleksi selendang dan skaf pula dilipat dan disusun kemas di rak dan di atas meja bagi memudahkan para pengunjung membelek seni pembuatan produk batik tersebut.

Risalah dan penerangan ringkas daripada wakil pameran pantas turut menyapa pengunjung sebagai penambah ilmu mengenai produk yang dipamerkan.

Promosi Kraf Tekstil 2010 bertujuan menggalakkan penggunaan tekstil Malaysia seperti batik, songket, pelbagai tenunan dan sulaman.

Tekstil yang dipamerkan bukan sekadar kain-kain tradisional Melayu malah, didatangkan bersama aksesori diri, kelengkapan dekorasi kediaman dan pejabat.

Seramai 115 usahawan dari seluruh negera menyertai promosi yang rata-ratanya terdiri daripada pengusaha produk kraf tekstil, produk hiasan rumah, pereka fesyen dan usahawan aksesori.

Batik digemari pelancong

Menurut pelukis daripada Karya Batik, Acrylic & Mixed Media, Aliza Che Nan, sebelum ini masyarakat hanya mengetahui bahawa motif batik ideal untuk menghasilkan pakaian dan selendang, sedangkan, batik juga antara motif yang cantik untuk hiasan dinding rumah atau dihadiahkan kepada insan tersayang.

“Melukis batik memerlukan teknik yang tersendiri bermula dengan melukis, mencanting lilin dan mewarna.

“Selain melukis di atas kanvas, kami turut menawarkan lukisan batik di atas kain kapas dan sutera. Proses menyiapkan sesebuah lukisan itu bergantung dari segi saiz dan corak pilihan,” tutur Aliza sambil menunjukkan lukisan batik berwarna terang yang popular dalam kalangan kelompok masyarakat Melayu.

Tambah Aliza, meskipun sambutan lukisan batik dalam kalangan penggemar tempatan masih di paras sederhana, tetapi dia berbangga kerana lukisannya dan suami Ahmad Fauzi Arshad amat dihargai pelancong asing.

“Orang Jepun suka lukisan batik yang bermain dengan warna-warna tanah manakala pelancong Inggeris meminati rona lembut seperti merah jambu dan putih,” ulas Aliza selanjutnya.

Sementara itu, wakil Nozi Batik, Zaleha Zakaria, 40, pula menyarankan supaya masyarakat tempatan terus menyokong produk buatan Malaysia khususnya fabrik batik. Jika kain renda Perancis yang dijual pada harga yang tinggi mampu dibeli, mengapa kain batik diketepikan tanpa sebab.


NOR HIDAYAH menunjukkan tali leher bermotif batik daripada TMFBatek.


Lagipun batik juga mengalami transisi corak dan warna seiring dengan cita rasa individu pada zaman moden dan gaya hidup urban.

Himpunan koleksi Nozi Batik dihasilkan oleh kami sendiri dengan menggunakan teknik tekap dan lukis tangan. Selain motif dedaun dan bunga-bungaan, kami turut menghiasi batik dengan renjisan dan corak marmar bagi menyuntik kelainan yang mempesonakan.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung Promosi Kraf Tektil 2010, Nimi Osman, 48, melahirkan rasa kecewa apabila masyarakat Malaysia terlalu membanggakan produk buatan luar negara sehingga meminggirkan batik.

Meskipun kebanyakan pengusaha kain dan dekorasi rumah berjaya menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti tetapi inisiatif tersebut masih belum mampu menarik minat orang tempatan.

“Maklumlah orang kita rasa lebih glamor dan moden apabila membeli produk antarabangsa khususnya pakaian dan fabrik motif batik. Seharusnya kita berasa malu kerana batik kini mendapat permintaan yang tinggi dan diterima baik di luar negara.

“Lagipun produk batik pada hari ini bukan sahaja terhad pada penghasilan fabrik tetapi sudah meluas pada seleksi aksesori, beg tangan, dekorasi rumah dan koleksi busana rekaan moden,” luah Nimi.

Buktinya, lihat sahaja inisiatif yang diambil oleh pihak TMFBatek yang beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur. Menurut wakil TMFBatek, Nor Hidayah Halim, syarikat yang ditubuhkan pada dua tahun lepas tidak hanya tertumpu pada pakaian dan fabrik.

Sebaliknya, mereka turut menawarkan koleksi pario, skaf, seluar bermuda, set bantal sofa dan set bilik tidur bercorak batik. Mereka juga menerima tempahan pakaian berasaskan batik daripada jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta dan persatuan.

Langkah itu sejajar dengan matlamat TMF Batek untuk menghasilkan produk batik yang berkualiti, unik dan kreatif bagi memuaskan hati para pelanggan sekali gus memartabatkan batik di mata dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: