Monday, November 1, 2010

Semangat jelitawan berkulit gelap




ACAP kali Tazneem Faisal Meerangkutty, 26, melihat penampilannya di hadapan cermin, dia tersenyum sendiri. Dia bagaikan tidak percaya, rias solekan dan dandanan jurusolek Vie Xenddra, berjaya menyerlahkan keanggunan dirinya. Apatah lagi pada sesi fotografi tersebut tubuh Tazneem atau mesra disapa Tazzy, dibaluti dengan persalinan gaun meleret rona biru lembut rekaan Rizman Ruzaini.

Penyanyi Farawahida Razali, 25, di sebelahnya yang sedang disolek jurumekap Iss Kiss di studio Utusan, sempat berbicara ringkas.

"Siapa kata wanita berkulit hitam seperti kita tak mampu bergaya dan kelihatan menawan. Asalkan kita bijak memilih konsep pakaian dan solekan sesuai," tutur Farawahida dalam nada lembut.

Tazzy yang masih berdiri di depan cermin mengangguk dan tersenyum sebagai tanda setuju dengan lontaran kenyataan Farawahida. Sementara menunggu jurugambar, Zulhafiz Hanafiah mengaturkan set lampu dan prop di dalam studio, Tazzy sempat meluahkan isi hatinya.

Jelas anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, kadangkala terbit rasa kesal kerana wanita berkulit gelap sepertinya sering didiskriminasi oleh sesetengah pihak. Ramai yang menyifatkan wanita berkulit gelap kurang daya penarik berbanding wanita yang memiliki kulit cerah atau sawo matang.

"Sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, saya sering diejek dan dipanggil hitam. Tambahan pula wajah saya dipenuhi jerawat yang tidak terkawal dan memiliki berat badan berlebihan.

"Kadang-kadang ada juga yang tanpa segan silu memanggil saya hitam berbanding menggunakan nama. Mula-mula memang saya marah dan geram tetapi lama-kelamaan saya sudah lali. Jadi saya pergi ke sekolah seperti biasa dan tidak melayan mereka yang kerap menyindir," imbas Tazzy, yang turut memberitahu kulit hitam manis itu diwarisi daripada bapanya yang berketurunan Malabari, Pakistan.


TAZZY (kiri) dan Farawahida berhati-hati dalam memilih warna pakaian dan solekan.


Meskipun berkulit gelap, Tazzy yang merupakan penulis skrip, penyelidik dan pengacara rancangan Selamat Pagi Malaysia saluran RTM, tidak malu apatah lagi berasa kecewa. Dia menyifatkan kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang itu bukan diukur berdasarkan rupa paras mahupun warna kulit.

Kesungguhan dan bekalan ilmu yang membantu segala-galanya. Menyedari faktor tersebut sebaik saja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sepanjang tempoh lima tahun menuntut di UiTM, bekas pengacara Salam Bollywood (Astro) dan Filem Di 9 (TV9) berjaya memiliki segulung Diploma Pengajian Media dan Ijazah Penyiaran dari Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi.

Tertipu krim pencerahan

Memilih cita-cita dalam bidang penyiaran dan komersial mendorong Tazzy untuk melakukan transisi penampilan diri. Sedikit demi sedikit Tazzy yang pernah membintangi iklan KFC, mencari konsep fesyen yang ideal dengan perwatakannya yang ceria, santai dan ringkas.

"Fesyen gipsi pilihan yang tepat kerana ia hanya memerlukan kreativiti untuk suai dan padan. Misalnya, memadankan seluar harem bersama baju-T dan jaket ketat.


FESYEN berkonsep gipsi menjadi pilihan Tazzy kerana ia mudah disuai padan.


"Selain menitikberatkan soal fesyen, setiap bulan saya mengunjungi spa untuk mendapatkan rawatan badan, kuku kaki dan kuku tangan. Ini termasuklah menemui doktor pakar kulit bagi mengelakkan masalah jerawat," tutur Tazzy yang pernah berasa tertipu dengan iklan produk pencerahan kulit yang menjanjikan kulit cerah dalam masa beberapa minggu.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu : "Biasalah pada usia remaja, bila kawan-kawan sekeliling mengejek kulit saya hitam, saya pun mencuba krim pemutih itu. Malangnya, selepas beberapa botol langsung tiada perubahan."

Bangga dengan warna kulit

Sementara itu, Farawahida yang popular dengan lagu Tanpamu, memberitahu dia berbangga memiliki kulit gelap yang turut diwarisi oleh bapanya yang berketurunan Pakistan.

"Secara jujur saya tak malu dilahirkan dengan kulit gelap. Rasa sama saja seperti wanita berkulit cerah. Cuma saya terlalu berhati-hati dalam bab memilih warna baju dan solekan. Warna merah jambu dan merah memang saya elakkan kerana warna ia menampakkan saya kelihatan pelik.

"Biasanya saya lebih selesa bermain dengan rona tembaga dan coklat terutamanya solekan di bahagian mata. Olesan gincu pula berasaskan warna-warna lembut," ujar Farawahida yang dilahirkan di Taiping, Perak, pada 19 Mac 1986.

Dalam pada itu, Farawahida yang memiliki enam orang adik-beradik mengakui amat aktif dalam sukan bola jaring dan sukan hoki serta pernah mewakili sekolah dalam beberapa perlawanan.

Dek terlalu kerap berlatih di bawah cahaya matahari kulit bertambah gelap dan berkilat. Namun kerana minat bersukan Farawahida tidak mempedulikan situasi itu.


TAZZY dan Farawahida mewarisi kulit hitam manis daripada bapa masing-masing yang berketurunan Pakistan.


"Ibu menjadi tak keruan apabila kulit saya bertambah gelap sehingga dia berjumpa guru penasihat bola jaring dan hoki supaya gugurkan nama saya dalam pasukan.

"Dia tak sanggup lagi melihat kulit saya sebegitu rupa. Sebab itu saya hanya aktif suka di peringkat sekolah, ikutkan hati nak bergiat sampai ke tahap yang lebih tinggi," ujar Farawahida.

Saranan Farawahida kepada wanita berkulit gelap, jangan malu dengan anugerah Tuhan itu. Cuma pastikan kebersihan kulit wajah dan badan sentiasa terjaga.

"Contohi penyanyi Beyonce dan Dayang Nurfaizah yang bijak berjaya dalam apa jua majlis dan situasi," kata Farawahida menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: