Friday, November 5, 2010

Budaya Melayu untuk semua


Low Kar Yee tidak kekok menarikan tarian Melayu sambil dibantu oleh Muhd. Badrul Robert Abdullah.


KEAKRABAN penduduk pelbagai kaum di Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan beberapa etnik lain telah menjadikan negara ini sebuah negara yang unik.

Keunikan ini ditambah lagi dengan ragam rakyat Malaysia yang mempunyai cara hidup, hubungan kemasyarakatan dan juga budaya yang tersendiri termasuk alat muzik tradisional.

Secara umumnya, masyarakat Melayu di negeri ini popular dengan paluan gendang dan kompang serta pelbagai tarian mengikut negeri yang sering dimainkan dan dipersembahkan pada sesuatu majlis keramaian.

Pada masa yang sama, kompang juga dilihat berpotensi untuk dijadikan platform dalam menyatukan hubungan pelbagai masyarakat di negara ini.

Menyedari akan hakikat tersebut, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Cempaka Fasa 3, Ampang, Selangor, telah menubuhkan Biro Kesenian dan Kebudayaan pada 30 Mac lalu.

Uniknya, persatuan kompang di taman ini dianggotai oleh anak-anak kecil dan remaja yang berusia dari tujuh hingga 14 tahun, termasuk dua berbangsa Cina yang berusia lapan dan sebelas tahun.

Ternyata kelibat kedua-dua adik beradik tersebut di dalam kumpulan tersebut memberi kelainan dan mereka sedikit pun tidak kekok untuk bermain alat muzik tradisional tersebut.

Setakat ini ahli-ahlinya yang seramai 21 orang telah pergi ke merata tempat memenuhi undangan bagi memeriahkan majlis perkahwinan, perasmian, meraikan dan sebagainya di bawah nama Kompang Nur Cempaka.

Pengerusinya, Che Ani Din, 59, berkata, penubuhan biro tersebut bertujuan memartabatkan kompang ke persada antarabangsa.

Menurutnya, kompang perlu dimartabatkan kerana ia merupakan satu-satunya alat yang dimainkan secara rasmi pada istiadat perkahwinan masyarakat Melayu dan beberapa majlis keagamaan.

''Bagi saya, penglibatan anak-anak muda Taman Cempaka dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan ini banyak memberi faedah kerana secara tidak langsung kita turut mempertahankan budaya bangsa.

''Pada masa sama, permainan kompang perlu terus dimartabatkan kerana ia bukan sahaja merupakan satu budaya yang dapat dikekalkan, malah diperkembangkan lagi terutamanya kepada generasi muda dalam usaha menyemai perasaan sayang terhadap budaya Melayu,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut tenaga pengajarnya, Awang Pazilah, 41, sesi latihan pasukannya berjalan berterusan pada setiap minggu (Sabtu dan Ahad).

Beliau yang merupakan seorang ahli muzik yang berpengalaman turut mendedahkan bahawa bermain alat muzik kompang juga perlu mempunyai kemahiran.

''Keunikan kompang ini ialah ia boleh dimainkan oleh pemain dalam keadaan berdiri, berjalan atau duduk.

''Ia juga tiada not untuk diikuti malah cara bermainnya hanya mengikut key yang telah ditetapkan,'' katanya.

Bagi mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Biro Kesenian dan Kebudayaan KRT Taman Cempaka Fasa 3 atau ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, bolehlah hubungi Che Ani di talian 013-2749616.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: