Friday, November 5, 2010

Gangguan panik penyakit genetik?

GANGGUAN panik atau PD merupakan sejenis penyakit mental yang tergolong di dalam kategori penyakit kebimbangan. Terdapat aspek neuropsikologi dalam penyakit ini dan kemungkinan wujudnya pertalian atau hubung kait di antara PD sebagai penyakit genetik (atau epigenetik) berdasarkan kepada fakta neuropsikologi.

PD digambarkan sebagai satu keadaan kebimbangan yang melampau dan berlaku secara tiba-tiba tanpa dapat dikawal atau dihalang.

Fellow Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Khairul Azhar Idris berkata, terdapat pelbagai tanda PD seperti perasaan ingin menjadi gila, ingin mati atau rasa hilang kewarasan dan hilang akal, ingin pitam dan pengsan, terasa akan mendapat serangan jantung atau strok, rasa seperti di awangan dan sebagainya.

''Penyakit ini juga diiringi dengan perasaan seperti ingin menangis dan menjerit secara tiba-tiba ketika serangan berlaku dan seterusnya ingin melarikan diri daripada situasi ketika serangan itu berlaku bagi menyelamatkan diri.

''Semua tanda gejala ini akan berterusan ketika tempoh serangan panik ini berlaku. Ia akan berakhir dalam tempoh selama antara lima hingga 10 minit.

"Namun demikian, ia akan terus berlaku secara berulang-ulang. Fenomena ini mendorong individu terbabit sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan akan ditimpa serangan panik yang berikutnya yang menjadikan mereka takut terhadap serangan itu atau berasa takut terhadap kesan buruk daripada serangan itu.

''Keadaan ini menjadikan mereka berada dalam ketegangan sistem saraf autonomik yang mempunyai tanda-tanda umum fizikal berkaitan kebimbangan dan ketakutan,'' katanya pada Seminar Kesihatan Mental Mendepani Cabaran Hidup Semasa, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai tanda gejala sosial yang wujud seperti perasaan takut terhadap objek atau situasi tertentu yang dipercayai boleh mencetuskan serangan panik atau kemungkinan akan berlaku panik dan seterusnya menjauhi objek atau situasi berkenaan.

Seterusnya kata Khairul Azhar, mereka lebih suka menyendiri dengan duduk di rumah dan akan terus mengasingkan diri daripada pelbagai aktiviti luaran yang akhirnya memusnahkan aktiviti sosial mereka.

Beliau berkata, serangan panik mencetuskan pengalaman ketakutan melampau kepada individu terhadap sebarang rangsangan autonomik dan kesan buruk daripada rangsangan itu.

Ini akan mendorong pemikiran dan perhatian individu terbabit tertumpu kepada diri sendiri, sama ada ia masih waras atau sebaliknya selepas serangan itu.

Keadaan ini ujarnya, menjadikan mereka semakin bimbang dan semakin berwaspada terhadap kemungkinan serangan yang seterusnya dan apakah perubahan diri yang akan berlaku.

Setiap perubahan diri akan dinilai secara negatif dan dilihat sebagai tanda-tanda awal panik akan datang menyerang. Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan rasa kebimbangan yang seterusnya berakhir dengan serangan panik secara berulang-ulang dalam lingkungan kitaran ganas PD. Keadaan ini akhirnya menjejaskan keupayaan individu terbabit untuk berfungsi sebagai individu yang normal dan produktif.

''Menurut perspektif neuropsikopatologi, PD terhasil akibat kecenderungan individu terbabit dalam memproses dan menilai maklumat yang berbentuk ancaman. Mereka didapati lebih memberi keutamaan kepada sebarang maklumat yang mengancam kesejahteraan, keselamatan dan kestabilan diri serta kehidupan mereka berbanding maklumat yang bersifat positif atau neutral.

''Keadaan ini tidak berlaku di kalangan mereka yang normal. Pada masa yang sama, individu PD juga cenderung untuk menilai maklumat negatif atau ancaman itu secara merbahaya. Sindrom ini juga wujud sebagai hasil daripada ketidakupayaan mereka untuk mengawal dan mengatur cara mereka memproses maklumat berkaitan ancaman dengan cara yang lebih berkesan lagi. Mereka didapati mudah terangsang oleh input yang mengandungi maklumat emosi yang bersifat negatif,'' katanya.

''Tidak dapat dipastikan sehingga kini punca sebenar dan kukuh berkaitan punca PD. Namun terdapat pelbagai model dan pendekatan yang cuba merungkai permasalahan dan gangguan ini berdasarkan kepada latar belakang dan kerangka teori masing-masing dengan nilai prognostik dan pemulihan yang baik. Ia terdiri daripada pendekatan biologi dan farmakologi dan juga psikologi seperti pendekatan psikoanalisis, behavioristik dan kognitif,'' ujar Khairul Azhar.

Menurutnya, serangan panik yang telah dialami untuk kali pertama tidak semestinya akan berulang lagi. Namun bagi sesetengah individu, serangan ini berkemungkinan akan berulang lagi buat seterusnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: